HomeUtamaInkues Zara: Kemungkinan pengubahan dokumen tidak dapat diketepikan

Inkues Zara: Kemungkinan pengubahan dokumen tidak dapat diketepikan

Read Time:2 Minute, 19 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Unsur gangguan dalam dokumen yang dikaitkan dengan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir tidak dapat diketepikan secara konklusif, Mahkamah Koroner diberitahu hari ini.

Pemeriksa Dokumen Forensik dan Pakar Tulisan Tangan, Dr Linthini Gannetion, berkata beliau telah memeriksa sama ada terdapat tanda-tanda pengubahsuaian tanpa kebenaran atau gangguan terhadap kandungan dokumen bertanda Y1 hingga Y15.

“Berdasarkan pemerhatian saya, kewujudan halaman yang dikoyakkan, perbezaan jenis dakwat pada bahagian tertentu, kewujudan tulisan yang dipadam serta perbezaan corak penandaan tarikh pada beberapa halaman bermaksud unsur gangguan dalam Y1 hingga Y15 tidak dapat diketepikan secara konklusif,” katanya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.  

Dokumen bertanda Y1 hingga Y15 merupakan 15 helaian kertas yang ditemui oleh guru dalam ‘locker’ Zara.

Saksi ke-74 itu berkata berdasarkan tulisan berbentuk jurnal Zara yang diperiksanya, remaja itu kebiasaannya tidak menulis tarikh secara konsisten dalam catatan jurnalnya.

“Bagaimanapun, dalam set Y1 hingga Y15, hampir semua halaman mempunyai tarikh kecuali Y8B dan Y13B. Keadaan ini tidak konsisten dengan kebiasaan penulisan jurnal beliau berdasarkan bahan yang tersedia,” katanya.

Beliau turut memerhatikan penggunaan pen yang berbeza pada beberapa bahagian, termasuk Y10B, yang menunjukkan kemungkinan terdapat butiran tertentu ditambah pada masa yang berlainan.

Linthini berkata pada Y4B, huruf “hallenge” dalam perkataan “challenge” ditulis menggunakan pensel, manakala bahagian lain ditulis menggunakan pen.

Beliau turut mendapati huruf “tauddin” dalam nama “Retauddin” dipercayai ditambah kemudian menggunakan pen yang berbeza.

Bagi Y13A, Linthini berkata terdapat tulisan yang dipadam, termasuk perkataan “Jala imut” dan dua baris yang menyebut nama “alysha”.

“Frasa ‘Jala imut’ tidak konsisten dengan ciri-ciri tulisan tangan Allahyarham Zara Qairina dan menunjukkan ia ditulis oleh individu lain,” katanya.

Menurut Linthini, dokumen bertanda Y1 hingga Y15 disahkan berasal daripada sebuah buku berkulit PVC hijau bertulis “Love and Peace” yang dirujuk sebagai WK9 dan telah dikoyakkan daripada buku itu.

Beliau berkata pemeriksaannya mendapati sebuah buku rujukan baharu “Love and Peace” daripada jenis yang sama mengandungi 228 halaman bergaris, manakala WK9 hanya mempunyai 106 halaman bergaris.

“Ini menunjukkan bahawa sebilangan besar halaman telah dikeluarkan daripada WK9 sebelum pemeriksaan dijalankan.

“Saya juga mendapati mekanisme koyakan yang diperhatikan pada Y1 hingga Y15 adalah berbeza dan tidak konsisten dengan satu corak koyakan yang seragam. Terdapat juga petunjuk bahawa halaman lain, selain Y1 hingga Y15, dipercayai telah dikeluarkan,” katanya.

Zara, 13, ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah asramanya sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025.

Kematiannya, yang didakwa melibatkan unsur buli, mencetuskan gesaan di seluruh negara supaya langkah pencegahan buli diperkukuh dan akauntabiliti dipertingkatkan.

Pada 20 Ogos 2025, lima remaja yang hanya dikenali sebagai Pelajar A, B, C, D dan E didakwa atas pertuduhan menggunakan kata-kata menghina terhadap Zara.

Mereka mengaku tidak bersalah dan kes itu sedang dibicarakan di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak.

Inkues Zara telah memasuki hari ke-75 hari ini.

RELATED ARTICLES
Utama

Inkues Zara: Konflik biasa ibu-anak tidak boleh dilihat secara terasing

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular