HomeUtamaSebahagian tulisan diperiksa bukan ditulis Zara

Sebahagian tulisan diperiksa bukan ditulis Zara

Read Time:2 Minute, 39 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Sebahagian tulisan dalam dokumen yang dikaitkan dengan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir bukan ditulis oleh remaja itu, Mahkamah Koroner diberitahu hari ini.

Pemeriksa Dokumen Forensik dan Pakar Tulisan Tangan, Dr Linthini Gannetion, 34, berkata pemeriksaannya mendapati dokumen W2 tidak digunakan secara eksklusif sebagai jurnal peribadi Zara, manakala dokumen W3 mengandungi lebih daripada satu corak tulisan tangan.

Dokumen W2 ialah sebuah jurnal berwarna ungu, manakala W3 ialah sebuah diari berwarna coklat yang didakwa ditemui guru dalam loker Zara.

Linthini berkata walaupun sebahagian besar tulisan tangan dalam W2 menunjukkan ciri-ciri yang konsisten dengan tulisan tangan Zara, beberapa halaman dalam W2 turut mengandungi tulisan individu lain bersama tulisan Zara.

“Penemuan ini menunjukkan bahawa individu lain mungkin mempunyai akses kepada W2 dan mungkin telah menulis di dalamnya,” katanya ketika membacakan kenyataan saksinya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Bagi W3, Linthini berkata sebahagian tulisan dalam W3 didapati mempunyai ciri-ciri yang tidak konsisten dengan tulisan tangan Zara, selain menunjukkan perbezaan ketara yang tidak dapat dijelaskan berdasarkan sampel tulisan tangannya yang diperiksa.

Linthini berkata beliau tidak dapat mencapai kesimpulan muktamad berhubung beberapa halaman dalam W3 berikutan ketiadaan sampel tulisan tangan Zara yang sezaman bagi tempoh berkenaan.

Sementara itu, Linthini juga mendapati tulisan tangan yang diperiksa pada dokumen W1 (buku berwarna hijau) ditulis oleh Zara.

Terdahulu, Dr Linthini berkata pemeriksaannya berdasarkan dokumen yang dikemukakan dan/atau disediakan untuk pemeriksaan, termasuk dokumen bertanda W1, W2, W3, Y1 hingga Y15 (15 helaian kertas), sampel tulisan tangan Zara  serta sampel tulisan tangan individu lain yang dirujuk sebagai Penulis A hingga Penulis J.

Beliau berkata tujuan pemeriksaan itu adalah untuk menentukan sama ada tulisan dalam dokumen yang dipersoalkan boleh dikaitkan dengan Zara atau sama ada ia ditulis oleh individu lain.

Menurutnya, pemeriksaan tulisan tangan itu melibatkan analisis perbandingan saintifik terhadap ciri-ciri seperti pembentukan huruf dan nombor, urutan strok, tekanan pen, penekanan, perkadaran tulisan, saiz, susunan, jajaran, rentak penulisan, kelajuan penulisan, variasi semula jadi dan ciri-ciri individu tulisan tangan.

“Dalam pemeriksaan tulisan tangan, adalah penting untuk mengambil kira bahawa tulisan tangan kanak-kanak atau remaja boleh berubah dan berkembang mengikut usia. Dalam kes ini, saya menilai perkembangan tulisan tangan Zara dari 2023 hingga 2025 setakat yang dibenarkan berdasarkan sampel tulisan tangan yang tersedia,” katanya.

Berdasarkan sampel tulisan tangan yang diperiksa, Linthini mendapati tulisan tangan Zara menunjukkan perkembangan yang jelas dari 2023 hingga 2025.

Ini termasuk perubahan pada bentuk huruf, corak kecondongan, kehadiran atau ketiadaan titik di atas huruf “i” dan “j”, pembentukan nombor serta cara huruf tertentu ditulis.

“Memandangkan tulisan tangan remaja boleh berubah dalam tempoh yang agak singkat, perbandingan yang paling boleh dipercayai ialah perbandingan yang dibuat menggunakan sampel tulisan tangan yang sezaman dengan tulisan yang dipersoalkan,” katanya.

Zara, 13, ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah asramanya sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025.

Kematiannya, yang didakwa melibatkan unsur buli, mencetuskan gesaan di seluruh negara supaya langkah pencegahan buli diperkukuh dan akauntabiliti dipertingkatkan.

Pada 20 Ogos 2025, lima remaja yang hanya dikenali sebagai Pelajar A, B, C, D dan E didakwa atas pertuduhan menggunakan kata-kata menghina terhadap Zara. Mereka mengaku tidak bersalah dan kes itu sedang dibicarakan di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak.

RELATED ARTICLES
Utama

Inkues Zara: Konflik biasa ibu-anak tidak boleh dilihat secara terasing

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular