KOTA KINABALU: Pertandingan Ratu Serimpak Kursi Rumpun Bajau Samah Peringkat Universiti Malaysia Sabah (UMS) 2026 mampu menjadi platform penting dalam usaha memelihara dan memartabatkan warisan budaya masyarakat Bajau Samah.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, pertandingan itu bukan sekadar menonjolkan keanggunan dan keterampilan peserta, malah menjadi medan untuk menilai kefahaman, pengetahuan, keperibadian serta kecintaan generasi muda terhadap budaya dan identiti bangsa mereka.
“Dalam era globalisasi yang semakin pesat, warisan budaya berdepan pelbagai cabaran untuk terus kekal relevan.
“Oleh itu, usaha memperkenalkan budaya kepada generasi muda melalui pendekatan yang kreatif dan inklusif amat penting agar khazanah budaya yang diwarisi turun-temurun tidak hilang ditelan zaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pertandingan tersebut di Threatrette Ahmad Nisfu, Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) UMS.
Mengulas lanjut, Kasim berkata budaya bukan sekadar melibatkan pakaian tradisional, tarian atau adat resam semata-mata, sebaliknya merupakan identiti, jati diri dan lambang kebijaksanaan sesuatu masyarakat.
“Masyarakat yang memahami akar budayanya akan lebih yakin dalam menghadapi cabaran masa depan tanpa kehilangan nilai dan prinsip yang menjadi asas kepada pembentukan diri.
“Justeru itu, penubuhan Kursi Rumpun Bajau Samah UMS adalah satu inisiatif bermakna dalam usaha memperkukuh pendokumentasian, pemeliharaan dan pengembangan ilmu berkaitan masyarakat Bajau Samah.
“Kursi ini berfungsi sebagai platform akademik dan budaya yang menghimpunkan pelbagai usaha bagi memastikan warisan masyarakat Bajau Samah terus dipelihara serta diketengahkan kepada masyarakat umum,” katanya.
Tambah beliau, pertandingan tersebut juga bukan sekadar pertandingan kecantikan, tetapi adalah wadah untuk menampilkan wanita Bajau Samah yang berilmu, berkeperibadian, memahami adat dan budaya serta mampu menjadi duta kepada warisan masyarakatnya.
“Melalui platform ini, para peserta diberi peluang untuk menghayati nilai-nilai budaya, memperkukuhkan jati diri dan seterusnya menjadi agen pemeliharaan warisan dalam kalangan generasi muda.
“Ini bertepatan dengan aspirasi Kursi Rumpun Bajau Samah yang bukan sahaja menumpukan kepada penyelidikan dan dokumentasi, tetapi turut menghidupkan budaya melalui penglibatan komuniti, pendidikan dan pembangunan bakat generasi pewaris.
“Inilah kesinambungan yang ingin kita bina untuk memastikan warisan Bajau Samah terus lestari, dihargai dan dibanggakan oleh generasi masa kini dan datang,” ujar beliau.
Dalam pada itu, sembilan peserta dalam kalangan mahasiswi UMS dari pelbagai fakulti terpilih sebagai finalis bagi pertandingan berkenaan.
Nur Fara Ezah Haidir dari Fakulti Perhutanan Tropika dinobatkan sebagai Juara Pertandingan Ratu Serimpak, sekali gus membawa pulang hadiah kemenangan bernilai RM1000, serta melayakkan diri untuk ke Pertandingan Ratu Serimpak Peringkat Negeri Sabah yang dijadualkan pada Ogos tahun ini.
Naib Juara pula diberikan kepada Intan Nuraisyah dari Fakulti Pendidikan dan pengajian Sukan, yang membawa pulang hadiah bernilai RM 600, manakala Puteri Asyikin dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan berjaya menempatkan diri di tempat ketiga, sekali gus memperoleh hadiah bernilai RM 400 yang disampaikan oleh Kasim.



