KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti penggubalan kerangka perundangan baharu bagi sektor e-dagang untuk mewujudkan persaingan lebih adil antara peniaga tempatan dan penjual rentas sempadan, di samping meningkatkan akauntabiliti platform dalam talian serta membendung lambakan produk tiruan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata langkah itu diambil susulan kebimbangan terhadap ketidakseimbangan kawal selia antara usahawan tempatan dan peniaga luar negara yang menjual terus kepada pengguna Malaysia melalui platform e-dagang.
Beliau berkata, kerajaan ketika ini masih mengamalkan pendekatan pasaran terbuka yang membolehkan penjual luar negara menawarkan produk kepada pengguna tempatan, sekali gus memberi lebih banyak pilihan dan harga yang kompetitif.
“Bagaimanapun, kerajaan prihatin terhadap jurang kawal selia yang wujud dan sedang meneliti kerangka perundangan baharu bagi memastikan medan persaingan yang lebih seimbang, meningkatkan akauntabiliti platform e-dagang serta melindungi kelangsungan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Young Syefura Othman (Bentong) pada sesi Kamar Khas Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Armizan, kerajaan sedang mempertimbangkan beberapa mekanisme baharu termasuk kewajipan pematuhan undang-undang Malaysia oleh entiti luar yang menyasarkan pengguna tempatan, pelantikan wakil tempatan yang sah, pengukuhan tanggungjawab platform serta penerapan elemen pemakaian undang-undang luar wilayah (extraterritorial application).
Mengenai isu produk tiruan, beliau berkata kerajaan memandang serius lambakan barangan tidak sah di platform e-dagang kerana ia bukan sahaja menjejaskan jenama tempatan malah boleh mengancam keselamatan dan kesihatan pengguna.
Katanya, sebanyak 38,503 aduan berkaitan transaksi dalam talian direkodkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dari tahun 2023 hingga 11 Jun 2026.
“Bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mei 2026, sebanyak 412 laman web telah disekat atas pelbagai kesalahan termasuk penjualan barang tiruan, manakala 57 iklan diturunkan dengan kerjasama platform e-dagang,” katanya.
Beliau berkata KPDN juga sedang meneliti mekanisme lebih jelas untuk mengenakan tanggungjawab kepada platform dalam memantau keselamatan dan kesahihan produk yang dijual.
Dalam pada itu, Armizan berkata Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) setakat ini tidak merekodkan sebarang kes amalan harga pemangsa (predatory pricing) melibatkan peniaga luar dalam ekosistem e-dagang negara.
Beliau turut memaklumkan sektor e-dagang terus menjadi pemacu penting ekonomi negara dengan sumbangan RM248.2 bilion atau 13.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada 2023.
Menurutnya, jumlah pendapatan sektor itu meningkat secara konsisten daripada RM1.1 trilion pada 2021 kepada RM1.3 trilion pada 2025.
Armizan berkata KPDN telah menyiapkan Memorandum Jemaah Menteri berkaitan penggubalan undang-undang baharu e-dagang yang dijadual dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada minggu pertama Julai 2026.
Selain itu, kerajaan turut menubuhkan Jawatankuasa Khas Berkaitan Impak Perniagaan Asing Dalam Negara yang dipengerusikan Kementerian Kewangan bagi meneliti isu lambakan barangan dan perkhidmatan asing serta penyalahgunaan pas imigresen untuk tujuan perniagaan dan pekerjaan di Malaysia.
Katanya, kerajaan komited memastikan pertumbuhan sektor e-dagang berjalan seiring dengan perlindungan pengguna dan kelangsungan perniagaan tempatan, khususnya PMKS, agar dapat bersaing secara saksama dalam pasaran digital yang semakin berkembang.



