HomeUtama91 PATI ditahan dalam operasi bersepadu di empat daerah

91 PATI ditahan dalam operasi bersepadu di empat daerah

Read Time:1 Minute, 37 Second

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menahan seramai 91 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam beberapa operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan di Kota Kinabalu, Kudat, Tawau dan Ranau bagi membanteras pelanggaran undang-undang imigresen.

JIM Sabah dalam kenyataan memaklumkan, seramai 373 individu telah diperiksa menerusi pelbagai operasi termasuk Ops Selera, Ops Belanja, Ops Serkap, Ops Sapu dan Ops Kutip yang dijalankan di empat daerah berkenaan.

Menurut kenyataan itu, di Kota Kinabalu, seramai 151 individu diperiksa dengan 46 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta melanggar syarat pas.

“Tangkapan di Kota Kinabalu melibatkan 43 warga Filipina terdiri daripada 14 lelaki dewasa, 18 perempuan dewasa, empat kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan, selain dua lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki warga Pakistan,” menurut kenyataan itu.

Di Kudat pula, Ops Sapu yang dijalankan memeriksa 46 individu dengan sembilan warga Filipina ditahan, membabitkan seorang lelaki dewasa, empat perempuan dewasa dan empat kanak-kanak lelaki.

Sementara itu, operasi bersepadu di Tawau yang dilaksanakan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Daerah Tawau dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Tawau memeriksa seramai 159 individu.

Hasil operasi itu, seramai 23 warga asing ditahan, terdiri daripada enam lelaki dewasa, lima perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki warga Filipina, selain lima lelaki dewasa serta enam perempuan dewasa warga Indonesia.

Di Ranau, Ops Sapu yang dijalankan memeriksa 17 individu dan menahan 13 warga asing, melibatkan tujuh lelaki dewasa warga Filipina serta dua lelaki dewasa, dua perempuan dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia.

Kesemua warga asing yang ditahan disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan telah dibawa ke depot imigresen bagi tujuan dokumentasi serta siasatan lanjut.

JIM Sabah menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI di negeri ini, sekali gus memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara sentiasa terpelihara.

RELATED ARTICLES
Utama

Wanita parah didakwa ditetak suami akibat cemburu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular