HomeUtamaDerma darah wajar dijadikan budaya organisasi

Derma darah wajar dijadikan budaya organisasi

Read Time:1 Minute, 34 Second

KOTA KINABALU :  Amalan menderma darah perlu dijadikan sebahagian daripada budaya organisasi sebagai manifestasi tanggungjawab sosial dan komitmen terhadap kesejahteraan masyarakat.

Pengurus Besar Kumpulan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), Datuk Ar. James Wong Kein Peng berkata, setiap organisasi turut memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada kesejahteraan rakyat melalui inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.

“Ukuran sebenar kejayaan bukanlah semata-mata apa yang kita capai untuk diri sendiri atau organisasi, tetapi apa yang kita lakukan demi manfaat orang lain.

“Justeru, amalan menderma darah perlu diterapkan sebagai satu budaya dalam organisasi kerana ia merupakan sumbangan yang amat bermakna dan mampu menyelamatkan nyawa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Jelajah Kempen Derma Darah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kumpulan SEDCO 2026 di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, pembangunan sesebuah organisasi tidak seharusnya dinilai berdasarkan pencapaian kewangan atau keuntungan semata-mata, sebaliknya perlu turut diukur melalui sumbangan positif yang diberikan kepada masyarakat.

Katanya, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan komuniti perlu bergerak seiring agar pembangunan yang dicapai benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

Sehubungan itu, beliau berkata Kempen Derma Darah CSR SEDCO yang diperkenalkan sejak 2017 bukan lagi sekadar program tahunan, sebaliknya telah berkembang menjadi satu gerakan kemasyarakatan yang menyatukan pelbagai pihak.

“Setiap beg darah yang didermakan membawa harapan kepada mereka yang memerlukan, sama ada pesakit yang menjalani pembedahan, ibu yang melahirkan anak, mangsa kemalangan mahupun individu yang sedang bertarung dengan penyakit.

“Mungkin penderma tidak pernah mengetahui siapakah penerima darah tersebut, namun di suatu tempat ada sebuah keluarga yang akan sentiasa mengenang jasa seorang insan yang sanggup berkongsi harapan melalui sumbangan darah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru lebih banyak organisasi, agensi kerajaan, syarikat swasta serta pertubuhan masyarakat untuk menjadikan program derma darah sebagai aktiviti tetap dalam kalendar tahunan masing-masing.

Menurutnya, penglibatan lebih banyak organisasi mampu membantu memastikan bekalan darah di hospital sentiasa berada pada tahap mencukupi bagi memenuhi keperluan pesakit di seluruh negeri.

RELATED ARTICLES
Utama

4,146 stesen minyak sedia laksana BUDI Diesel, subsidi diperluas kepada lebih...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular