PUTRAJAYA: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan terus memperkukuh penyelarasan projek bekalan air dan infrastruktur luar bandar di Sabah bagi memastikan pelaksanaan pembangunan berjalan lancar mengikut perancangan kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelaksanaan projek bekalan air luar bandar di Sabah akan terus dilaksanakan oleh agensi kerajaan negeri, manakala KKDW berperanan sebagai penyelaras bagi memastikan projek dapat dilaksanakan secara berkesan.
Menurut beliau, pendekatan itu selaras dengan pembahagian tanggungjawab antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam pembangunan kemudahan asas luar bandar.
“Bagi bekalan air luar bandar, kita telah menyerahkan kepada pihak berkuasa negeri iaitu di Sabah dan Sarawak untuk agensi-agensi negeri melaksanakannya, manakala KKDW menyelaraskan semua projek berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Tahun 2025, di sini hari ini.
Mengulas mengenai pembangunan infrastruktur luar bandar, Ahmad Zahid berkata, KKDW akan terus memberi tumpuan kepada pembinaan dan penaiktarafan jalan luar bandar yang menghubungkan kawasan pedalaman dengan bandar-bandar utama serta rangkaian jalan sedia ada.
Beliau berkata, sekiranya terdapat keperluan membina laluan baharu bagi meningkatkan keterhubungan, kementerian akan mempertimbangkan cadangan tersebut untuk dimasukkan dalam penyediaan Bajet 2027.
“Jalan luar bandar merupakan tanggungjawab KKDW dan kita akan memastikan rangkaian jalan ini dapat menghubungkan kawasan pedalaman dengan bandar-bandar utama serta laluan sedia ada.
“Jika masih terdapat kawasan yang memerlukan keterhubungan, permohonan itu akan dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam Bajet 2027,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan projek infrastruktur itu bagaimanapun masih tertakluk kepada prosedur serta kelulusan yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Katanya, perincian lanjut mengenai pelaksanaan projek akan diumumkan selepas semua proses rundingan serta penyelarasan berkaitan dimuktamadkan.



