HomeUtamaPameran marin Regatta Lepa tarik 654 pengunjung

Pameran marin Regatta Lepa tarik 654 pengunjung

Read Time:2 Minute, 1 Second

SEMPORNA: Seramai 654 pengunjung menyertai pameran kesedaran pemuliharaan marin yang diadakan sempena Pesta Regatta Lepa 2026, sekali gus meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara ekosistem marin unik di Semporna.

Pameran bertemakan Sayangi Laut Kita itu berlangsung selama tiga hari, dari 26 hingga 28 Jun lalu, hasil kerjasama Reef Check Malaysia dan Green Semporna dengan sokongan Kumpulan Pemuliharaan Marin Komuniti (Community Marine Conservation Groups – CMCGs) dari seluruh Semporna.

Pelbagai aktiviti pendidikan interaktif disediakan bagi menarik penyertaan semua lapisan masyarakat, termasuk permainan teka-teki bertemakan marin, penghasilan rantai kunci daripada plastik kitar semula, aktiviti mewarna kanak-kanak, cabaran “Touch and Tell”, roda putaran pemuliharaan, kuiz alam sekitar, bengkel mengait haiwan marin serta pelbagai permainan dan demonstrasi pendidikan lain.

Pameran itu turut memaparkan maklumat mengenai kepentingan pemuliharaan terumbu karang, biodiversiti marin, pengurusan sisa secara bertanggungjawab, perikanan mampan serta inisiatif pemuliharaan yang diterajui komuniti dalam melindungi ekosistem pesisir dan marin Semporna.

Pengurus Program Kanan, Reef Check Malaysia (Sabah), Adzmin Fatta berkata, pameran itu menjadi platform untuk memupuk kesedaran bahawa usaha melindungi lautan adalah tanggungjawab bersama.

“Pemuliharaan marin bermula dengan kesedaran, dan kesedaran berkembang melalui pengalaman yang bermakna. Apabila orang ramai, khususnya kanak-kanak dan golongan muda, berpeluang berinteraksi, bertanya soalan serta mengenali keajaiban alam marin, mereka akan membina rasa tanggungjawab yang lebih tinggi untuk melindunginya.

“Setiap perbualan, aktiviti dan tindakan kecil menyumbang kepada pembentukan komuniti yang menghargai serta memelihara lautan untuk generasi akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, wakil Green Semporna, Melissa Mangalis berkata, sambutan menggalakkan daripada pengunjung pelbagai peringkat umur menjadi antara kejayaan utama pameran berkenaan.

Menurutnya, pengunjung didedahkan dengan pelbagai topik berkaitan pemuliharaan marin, termasuk kepentingan terumbu karang yang sihat serta peranan jerung dan pari dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem lautan.

“Rasa ingin tahu, keterujaan dan kesungguhan mereka untuk belajar memberi harapan bahawa lebih ramai akan menjadi pencetus usaha pemuliharaan marin dalam komuniti masing-masing,” katanya.

Bagi memperingati kejayaan penganjuran Regatta Lepa 2026, Reef Check Malaysia bersama CMCGs akan menempatkan sebuah Spider Frame khas Regatta Lepa 2026 serta menjalankan penanaman semula karang sebagai simbol penghargaan kepada semua 654 pengunjung yang menyertai pameran itu.

Inisiatif itu dijangka menjadi legasi bermakna yang bukan sahaja memperingati festival berkenaan, malah menyumbang kepada usaha pemulihan terumbu karang di perairan Semporna.

Reef Check Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada semua pengunjung, sukarelawan, Green Semporna, CMCGs serta Jawatankuasa Penganjur Regatta Lepa 2026 atas kerjasama menjayakan usaha meningkatkan kesedaran pemuliharaan marin sempena salah satu festival budaya paling ikonik di Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

Lebih 60 Peratus Banci Ekonomi 2026 di Sabah Selesai Dibanci

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular