Oleh Wan Azrain
Daya saing negara semakin kukuh. Pencapaian ini membuka ruang lebih besar bagi Malaysia menarik lebih banyak pelaburan yang boleh merancakkan ekonomi negara, serta mewujudkan banyak pekerjaan kepada rakyat.
Dua minggu lepas, International Institute for Management Development (IMD) telah menerbitkan laporan World Competitiveness Ranking 2026 (WCR 2026), yang menilai tahap daya saing 70 negara terpilih.
Fakta menarik. International Institute for Management Development (IMD) merupakan sebuah institusi pengajian terkemuka dunia di Switzerland. Sejak tahun 1989, IMD telah menerbitkan World Competitiveness Ranking.
Berdasarkan WCR 2026, Malaysia kini berada di kedudukan ke-15 (skor = 81.91) daripada 70 negara, melonjak lapan tempat daripada kedudukan ke-23 pada tahun 2025. Lebih membanggakan, dalam tempoh masa lima tahun (2022 – 2026), Malaysia telah merekodkan peningkatan besar, daripada kedudukan ke-32 (2022).
Sebagai perbandingan, di kalangan negara-negara ASEAN, Malaysia berada di tempat kedua selepas Singapura. Kedudukan negara-negara ASEAN di dalam WCR 2026 adalah: Singapura (1), Malaysia (15), Thailand (26), Vietnam (27), Filipina (47), Indonesia (48).
Singapura yang berada di kedudukan pertama bagi WCR 2026, satu-satunya negara yang merekodkan skor 100.
Secara keseluruhan, penilaian WCR dibuat berasaskan kepada empat komponen: prestasi ekonomi atau economic performance; kecekapan kerajaan atau government efficiency; kecekapan bisnes atau business efficiency; infrastruktur atau infrastructure.
Seterusnya, bagi setiap komponen, terdapat lima sub-komponen yang berkaitan. Ini termasuklah: dagangan antarabangsa, pekerjaan, polisi cukai, perundangan bisnes, produktiviti, pasaran tenaga buruh, pendidikan.

Memberangsangkan, sepanjang tempoh masa lima tahun (2022 – 2026), Malaysia telah merekodkan kedudukan yang lebih baik bagi keempat-empat komponen berkenaan:
- Economic Performance: kedudukan ke-4, berbanding ke-12 (2022)
- Government Efficiency: kedudukan ke-14, berbanding ke-38 (2022)
- Business Efficiency: kedudukan ke-16, berbanding ke-38 (2022)
- Infrastructure: kedudukan ke-33, berbanding ke-37 (2022)
Sementara itu, di kalangan sub-komponen, Prices merekodkan prestasi terbaik di kedudukan ke-2. Ini menunjukkan tahap harga di Malaysia adalah sangat kompetitif berbanding negara-negara di dalam WCR 2026.
Sebaliknya, Singapura, yang terkenal dengan kos sara hidup yang tinggi, berada di kedudukan ke-69 bagi Prices.

Selain itu, sub-komponen Labor Market turut merekodkan pencapaian yang sangat baik di kedudukan ke-3. Manakala, dua sub-komponen terendah negara adalah: Health & Environment (47) dan Education (44).
Pencapaian Malaysia di dalam WCR 2026 ini selari dengan pencapaian di dalam Indeks Keyakinan Pelaburan Langsung Asing 2026 atau 2026 FDI Confidence Index yang diterbitkan oleh Kearney Global Business Policy Council pada bulan April 2026.
Berdasarkan Indeks berkenaan, Malaysia berada di kedudukan ke-21. Ini ialah kali pertama Malaysia berada di kelompok 25 teratas sejak tahun 2014.
Kejayaan Malaysia mengukuhkan daya saing sudah pun terbukti dengan prestasi pencapaian pelaburan yang diterima. Menurut data Malaysian Investment Development Authority (MIDA), sepanjang tempoh masa enam tahun (2020 – 2025), Jumlah Pelaburan Diluluskan telah merekodkan trend peningkatan ketara, melonjak lebih dua kali ganda daripada RM 164 bilion kepada RM 426.7 bilion.
| Tahun | Jumlah Pelaburan Diluluskan (RM) | Pelaburan Domestik (RM) | Pelaburan Asing (RM) |
| 2025 | 426.7 bilion | 219.6 bilion (51.5%) | 207.1 bilion (48.5%) |
| 2024 | 378.5 bilion | 208.1 bilion (55%) | 170.4 bilion (45%) |
| 2023 | 329.5 bilion | 141.1 bilion (42.8%) | 188.4 bilion (57.2%) |
| 2022 | 264.6 bilion | 101.3 bilion (38.3%) | 163.3 bilion (61.7%) |
| 2021 | 306.5 bilion | 97.9 bilion (31.9%) | 208.6 bilion (68.1%) |
| 2020 | 164 bilion | 99.8 bilion (60.9%) | 64.2 bilion (39.1%) |
Pada masa sama, Pelaburan Asing telah merekodkan lonjakan besar lebih tiga kali ganda, daripada RM 64.2 bilion kepada RM 207.1 bilion. Pelaburan Domestik pula telah melonjak daripada RM 99.8 bilion kepada RM 219.6 bilion.
Malah, Jumlah Pelaburan Diluluskan (RM 426.7 bilion) pada tahun 2025 merupakan paras tertinggi di dalam sejarah negara. Jumlah pelaburan besar ini melibatkan 8,390 projek, dan mewujudkan 244,902 pekerjaan baharu.
Daripada jumlah pelaburan tersebut, sebahagian besar adalah di dalam Sektor Perkhidmatan (65.9%: RM 281.3 bilion), disusuli oleh Perkilangan (30.8%: RM 131.3 bilion) dan Utama/ Primary (3.3%: RM 14.2 bilion).
Bagi Pelaburan Asing (RM 207.1 bilion) berkenaan, lima pelabur terbesar adalah: Singapura (RM 58.3 bilion), China (RM 58.0 bilion), Amerika Syarikat (RM 15.1 bilion), Jepun (RM 7.6 bilion) dan Hong Kong SAR (RM 7.1 bilion).
Peningkatan pelaburan yang diterima jelas menggambarkan keyakinan mendalam pelabur asing dan domestik terhadap keteguhan ekonomi dan kestabilan kepimpinan negara. Dasar mesra pelabur yang konsisten akan dapat memberi keselesaan dan jaminan jangka panjang, membolehkan pelabur meraih keuntungan dan mencapai matlamat yang disasarkan.
Tatkala meraikan pencapaian pengukuhan daya saing ini, Malaysia mesti meneliti dan menambah baik perkara-perkara di mana pencapaian masih rendah, terutamanya komponen Health & Environment dan Education.
Ini termasuklah fokus kepada pematuhan dan pelaksanaan prinsip ESG (Environmental, Social, Governance). Di seluruh dunia, prinsip ESG telah diterima pakai sebagai panduan bagi memperkasa kemampanan ekonomi dan perniagaan, seiringan dengan kelestarian alam sekitar serta keutuhan sosial.



