HomeUtamaLebih 60 Peratus Banci Ekonomi 2026 di Sabah Selesai Dibanci

Lebih 60 Peratus Banci Ekonomi 2026 di Sabah Selesai Dibanci

Read Time:1 Minute, 43 Second

KOTA KINABALU,— Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Negeri Sabah telah berjaya melaksanakan lebih 60 peratus daripada keseluruhan Banci Ekonomi (BE) 2026 yang disasarkan di negeri ini, melibatkan hampir 90,000 pertubuhan merangkumi perusahaan mikro, kecil, sederhana dan besar.

Pencapaian itu diumumkan sempena Sesi Libat Urus Banci Ekonomi 2026 bersama badan profesional dan persatuan perniagaan Sabah yang berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Pembantu Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Dr Jonnybone J. Kurum, yang menyifatkan data berkualiti sebagai elemen penting dalam merancang pembangunan ekonomi negeri secara lebih berkesan.

Beliau berkata pelaksanaan Banci Ekonomi 2026 sejajar dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030, yang memberi penekanan kepada pertumbuhan ekonomi bernilai tinggi, pembangunan modal insan, kesejahteraan rakyat dan kemampanan alam sekitar.

Menurut beliau, kerajaan negeri turut menyasarkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah mencapai RM100 bilion menjelang 2030.

Pada 2024, KDNK Sabah direkodkan sebanyak RM84.3 bilion dengan sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada ekonomi negeri, diikuti sektor perlombongan dan pengkuarian, pertanian, pembuatan serta pembinaan.

Berdasarkan dapatan Banci Ekonomi 2023, sebanyak 68,267 pertubuhan beroperasi di Sabah dengan nilai output kasar mencecah RM182.5 bilion dan nilai ditambah RM96.9 bilion. Aktiviti ekonomi negeri turut melibatkan lebih 610,000 pekerja dengan jumlah gaji dan upah sebanyak RM14.6 bilion.

Sementara itu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pelaksanaan BE2026 dijalankan secara berfasa bagi memastikan proses pengumpulan data dapat dilaksanakan secara sistematik serta menghasilkan statistik yang tepat dan berkualiti.

Beliau berkata data yang dikumpulkan akan membantu kerajaan memahami landskap ekonomi semasa, mengenal pasti sektor berpotensi tinggi serta merangka strategi pembangunan yang lebih berkesan, selain menjadi rujukan kepada pelabur, institusi kewangan, penyelidik dan penggubal dasar.

Pelaksanaan BE2026 berlangsung dari 5 Januari hingga 31 Oktober 2026 melalui tiga fasa, melibatkan pertubuhan sektor informal dan mikro, diikuti perusahaan kecil dan sederhana, sebelum diteruskan kepada syarikat bersaiz besar. DOSM turut memberi jaminan bahawa semua maklumat yang dikemukakan responden adalah sulit dan hanya digunakan bagi tujuan penyediaan statistik rasmi negara.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki didenda RM10,000 urus niaga diesel tanpa lesen

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular