KOTA KINABALU: Seorang lelaki didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah menjalankan urus niaga minyak diesel tanpa lesen yang sah, sekali gus menjadi satu lagi sabitan hasil penguatkuasaan Ops Tiris 4.0 Bersepadu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah.
Tertuduh, Abdul Salam Ismail, 36, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Hurman Hussain, pada prosiding yang berlangsung pada 25 Jun lalu.
Mengikut pertuduhan, Abdul Salam didakwa melakukan urus niaga barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel tanpa lesen yang sah, suatu kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122].
Berdasarkan fakta kes, pada 19 April 2026, sepasukan anggota Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah menjalankan pemeriksaan di kawasan parkir Jalan Tugu, Kota Kinabalu hasil maklumat risikan.
Pemeriksaan menemukan 186 liter minyak diesel yang disimpan di dalam sebuah tangki IBC berkapasiti 1,000 liter di bahagian belakang sebuah Toyota Hilux Rocco.
Siasatan lanjut mendapati tertuduh tidak memiliki lesen yang sah untuk menjalankan urus niaga barang kawalan berjadual tersebut.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM10,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh telah menjelaskan denda berkenaan.
Mahkamah turut memerintahkan hasil jualan minyak diesel berjumlah RM774.09 dilucut hak sebagai hasil Kerajaan Malaysia.
Selain itu, semua barang yang disita turut diperintahkan dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia, kecuali kenderaan yang dikembalikan kepada pemilik berdaftar.
Bagi kesalahan pertama di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta, penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan.
Pendakwaan dikendalikan oleh PmPTK Malai Rosidi Malai Muhamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam pada itu, Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin, berkata pihaknya akan terus mempergiatkan Ops Tiris 4.0 Bersepadu dengan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa bagi membanteras penyelewengan barang kawalan serta memastikan subsidi kerajaan disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak.
Beliau berkata, KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan barang kawalan sehingga menjejaskan kepentingan rakyat dan menyebabkan ketirisan hasil negara.
Katanya, selain hukuman denda dan penjara, mahkamah juga boleh memerintahkan tindakan lucut hak terhadap barang sitaan termasuk kenderaan sebagai langkah tegas membendung aktiviti penyelewengan.



