SANDAKAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan seramai 44 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Operasi Sapu yang dilaksanakan di sekitar daerah Sandakan di sini Sabtu lalu.
JIM Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan operasi berkenaan dijalankan oleh 13 pegawai daripada Bahagian Penguatkuasaan Sandakan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan membanteras kebanjiran warga asing tanpa izin di negeri ini.
Menurut kenyataan itu, pemeriksaan telah dijalankan ke atas 84 individu sebelum 44 daripadanya ditangkap dan ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Kesemua individu yang ditahan merupakan warganegara Filipina, terdiri daripada 10 lelaki dewasa, 11 perempuan dewasa, 11 kanak-kanak lelaki dan 12 kanak-kanak perempuan.
“Siasatan awal mendapati semua yang ditahan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah atau pas yang dibenarkan untuk berada di negara ini.
“Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah,” menurut kenyataan itu.
JIM Sabah menegaskan pihaknya akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengesan dan menahan pendatang asing tanpa izin di seluruh negeri.
Katanya, tindakan itu adalah sebahagian daripada komitmen jabatan dalam memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta memelihara keselamatan dan ketenteraman awam.

Dalam masa sama, JIM Sabah memberi amaran bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati melindungi atau menggaji PATI.
Orang ramai turut diseru menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan masing-masing bagi membantu memperkukuh usaha penguatkuasaan.
Menurut JIM Sabah, tiada sebarang kompromi akan diberikan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, khususnya melibatkan isu keselamatan negara.



