NABAWAN: Sistem tagal terus diiktiraf sebagai antara pendekatan terbaik dalam memulihara sumber perikanan sungai di Sabah, selain berperanan memperkukuh kesejahteraan dan ekonomi masyarakat luar bandar.
Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, Datin Dr. Shuhadah Mustapha berkata, sistem tagal yang diamalkan secara turun-temurun terbukti berjaya memulihkan sumber ikan sungai yang semakin berkurangan, di samping menjadi sandaran penting dalam menjamin keterjaminan makanan komuniti pedalaman.
Katanya, sistem berteraskan penjagaan, pemuliharaan dan pengurusan sumber perikanan itu merupakan warisan masyarakat Sabah yang telah dipraktikkan sejak sekian lama serta terbukti berkesan sebagai pendekatan konservasi berasaskan komuniti.

“Di kawasan Pensiangan dan Pagalungan sahaja terdapat sebanyak 21 tagal tradisi yang masih aktif. Perkembangan ini membuktikan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memelihara sungai semakin meningkat,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan (Operasi) Sabah, Lawrence Kissol Jr. ketika merasmikan Majlis Perasmian Tagal Tradisi Kampung Kuala Sumatalun, di sini, pada Khamis.
Menurutnya, Pagalungan turut mencatat satu lagi kejayaan apabila Tagal Kampung Sosogoh berjaya dibangunkan sebagai destinasi tagal eko-pelancongan.
Beliau berkata, sehingga kini Sabah mempunyai sebanyak 654 tagal yang melibatkan 232 sungai, dengan 43 daripadanya berada dalam kategori Tagal Memorandum Persefahaman (MoU).
“Selain menjadi mekanisme pemuliharaan sumber perikanan, sistem tagal mempunyai potensi besar menjana ekonomi komuniti menerusi pembangunan eko-pelancongan seperti aktiviti bermain ikan jinak, perkhemahan, sukan memancing dan rekreasi alam semula jadi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Tagal Kampung Kuala Sumatalun mempunyai keistimewaan tersendiri kerana sungainya didiami spesies ikan salarong yang hanya terdapat di beberapa kawasan sungai tertentu di Sabah.
Menurutnya, keunikan tersebut memberi nilai tambah yang besar kepada potensi kawasan berkenaan untuk dibangunkan sebagai produk pelancongan komuniti, sekali gus membuka peluang pekerjaan dan menjana pendapatan penduduk setempat.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan komuniti tagal supaya sentiasa berwaspada terhadap ancaman penyakit ikan serta perubahan cuaca selepas beberapa sungai di Sabah dilaporkan mengalami kejadian kematian ikan secara mengejut dalam jumlah yang besar pada tahun ini.
Katanya, keadaan itu dipercayai berpunca daripada jangkitan virus KHV (Koi Herpesvirus), selain faktor musim kemarau yang melanda beberapa kawasan.
Sehubungan itu, Jabatan Perikanan mengesyorkan beberapa langkah kawalan termasuk melarang pemindahan ikan dari satu sungai ke sungai lain serta tidak melepaskan spesies ikan asing ke dalam sungai bagi melindungi spesies tempatan dan mengawal penularan penyakit.
“Bagi mengurangkan kerugian kepada komuniti tagal, Jabatan Perikanan turut mencadangkan supaya pembukaan tagal dilaksanakan secara terkawal mengikut kesesuaian semasa,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pegawai Daerah Nabawan, Marshal Anthony @ Idham; Ketua Daerah, Philip Antugi; serta Pengerusi Tagal Kampung Kuala Sumatalun, Pilin Lumbis.



