PUTRAJAYA : Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Istana Kehakiman di Putrajaya hari ini bagi mendengar keputusan rayuan akhir pihak pendakwaan terhadap pembebasannya daripada empat pertuduhan membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Syed Saddiq, 33, tiba kira-kira 8.50 pagi dengan diiringi ibunya, Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz, serta tunangnya, Bella Astillah.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Seri Abu Bakar Jais bersama Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah dijadual menyampaikan keputusan pada 9 pagi.
Rayuan itu difailkan Jabatan Peguam Negara sehari selepas Mahkamah Rayuan pada 25 Jun 2025 membenarkan rayuan Syed Saddiq, sekali gus mengetepikan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 9 Nov 2023.
Syed Saddiq sebelum ini didakwa atas satu pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan dana Armada berjumlah RM1 juta, satu pertuduhan salah guna harta membabitkan RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, serta dua pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan transaksi masing-masing RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.
Mahkamah Persekutuan hari ini akan menentukan sama ada keputusan Mahkamah Rayuan dikekalkan atau sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi dipulihkan.



