HomeUtamaSabah perlukan 100,000 unit darah setahun, bekalan masih belum mencukupi

Sabah perlukan 100,000 unit darah setahun, bekalan masih belum mencukupi

Read Time:2 Minute, 2 Second

KOTA KINABALU: Sabah memerlukan kira-kira 100,000 unit darah setiap tahun bagi memenuhi keperluan pesakit di seluruh negeri, namun bekalan yang berjaya dikumpulkan masih belum mencukupi.

Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim berkata, Sabah masih berdepan kekurangan hampir 25,000 unit darah berdasarkan kutipan sekitar 70,000 unit darah yang direkodkan pada tahun lalu.

Katanya, keadaan itu memerlukan penglibatan lebih aktif daripada masyarakat, jabatan kerajaan, agensi awam serta sektor swasta untuk menjayakan kempen derma darah secara berterusan.

“Sabah memerlukan lebih 100,000 unit darah setahun, namun bekalan yang berjaya dikumpulkan hanya sekitar 70,000 unit darah pada tahun lalu. Ini bermakna kita masih berdepan kekurangan hampir 25,000 unit darah.

“Saya menggalakkan seluruh rakyat Sabah tampil menderma darah bagi memastikan keperluan bekalan darah di negeri ini dapat dipenuhi, bukan sahaja di Hospital Queen Elizabeth II tetapi juga di semua hospital dan fasiliti kesihatan yang memerlukannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Hospital Queen Elizabeth II, di sini, pada Isnin.

 Azrul berkata, cabaran geografi Sabah yang mempunyai banyak kawasan luar bandar dan pedalaman menyukarkan pihak hospital melaksanakan program libat urus secara menyeluruh dengan masyarakat.

Bagaimanapun, katanya, Hospital Queen Elizabeth II dengan kerjasama pelbagai pihak telah melaksanakan program outreach dan kempen derma darah bergerak bagi mendekati masyarakat di lokasi strategik untuk meningkatkan kutipan darah.

Beliau turut mencadangkan supaya jabatan kerajaan, agensi awam dan syarikat swasta mengadakan kempen derma darah secara konsisten dan berkala sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial masing-masing.

“Usaha ini amat signifikan kerana ia bukan sahaja melibatkan aspek kesihatan, malah menyentuh soal menyelamatkan nyawa manusia, termasuk ahli keluarga kita sendiri yang mungkin memerlukan darah pada bila-bila masa,” katanya.

Dalam pada itu, Azrul turut mencadangkan supaya kerajaan negeri bersama pihak berkepentingan mengenal pasti lokasi tumpuan orang ramai seperti pusat beli-belah sebagai lokasi tetap kempen derma darah bagi memudahkan orang ramai menyertai program berkenaan.

Beliau berkata, pelbagai pendekatan baharu perlu terus diperkenalkan bagi memastikan bekalan darah di Sabah sentiasa mencukupi selaras dengan keperluan yang semakin meningkat.

Pada majlis sama, Azrul turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan Hospital Queen Elizabeth II atas penganjuran sambutan tersebut yang menerima sambutan menggalakkan daripada penderma darah sukarela.

Beliau berkata, program itu dijangka berjaya mengumpulkan kira-kira 200 unit darah bagi menambah bekalan Tabung Darah negeri.

Turut hadir, Pengarah Hospital Queen Elizabeth II, Dr Ferro Firdaus Ibrahim dan Ketua Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Queen Elizabeth II, Dr Shahnaz Irwani Sabri.

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

BUDI Diesel: Ubat yang Pahit Hari Ini, Demi Masa Depan yang...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular