HomeUtamaKPDN Labuan siasat kedai serbaneka, papar harga mengelirukan

KPDN Labuan siasat kedai serbaneka, papar harga mengelirukan

Read Time:1 Minute, 32 Second

LABUAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan menjalankan siasatan terhadap sebuah kedai serbaneka selepas disyaki memaparkan harga mengelirukan bagi satu produk tuala wanita, susulan maklumat yang diterima daripada orang awam.

Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Labuan, Junaidah Arbain berkata, dalam pemeriksaan yang dijalankan mendapati produk berkenaan masih dipamerkan dengan tanda harga promosi RM3.19 seunit, walaupun tempoh promosi itu telah berakhir pada 31 Mei lalu. 

Bagaimanapun katanya, semasa urusan pembayaran di kaunter, produk tersebut dikenakan harga asal RM4.50 selepas diimbas melalui sistem jualan, sekali gus mewujudkan percanggahan antara harga yang dipamerkan dengan harga sebenar yang dikenakan kepada pengguna.

“Keadaan itu berpotensi mengelirukan pengguna ketika membuat keputusan pembelian.

“Sehubungan itu, penyelia premis berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Perenggan 12(1)(a) Akta Perlindungan Pengguna 1999 kerana memberikan gambaran yang mengelirukan mengenai harga sesuatu barang bagi tujuan perdagangan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Selasa.

Beliau berkata, produk terbabit telah disita bagi membantu siasatan lanjut mengikut peruntukan akta yang sama.

Menurutnya, jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 145 Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

“Bagi kesalahan berikutnya, hukuman boleh ditingkatkan kepada denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Junaidah turut mengingatkan semua peniaga supaya sentiasa memastikan paparan harga yang dipamerkan adalah tepat, jelas dan selaras dengan harga yang dikenakan di kaunter pembayaran.

Katanya, pematuhan terhadap peraturan itu penting bagi melindungi hak pengguna serta memastikan amalan perdagangan yang adil, telus dan berintegriti.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengguna supaya menyemak harga barangan sebelum membuat pembayaran serta menyimpan resit pembelian sebagai bukti sekiranya berlaku percanggahan harga.

“Sebarang maklumat berkaitan salah laku perdagangan boleh disalurkan kepada KPDN untuk tindakan penguatkuasaan selanjutnya,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

PKK laksana gotong-royong mega, langkah banteras ancaman denggi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular