KOTA KINABALU: Perkhidmatan aplikasi Sabah Smart Parking (SSP) yang sebelum ini mengalami gangguan operasi sementara kini telah kembali pulih dan boleh digunakan seperti biasa.
SSP dalam satu kenyataan memaklumkan, pengguna kini boleh meneruskan semula urusan pembayaran parkir menerusi aplikasi berkenaan selepas beberapa fungsi utama yang terjejas berjaya dipulihkan.
Sebelum ini, gangguan pada aplikasi SSP menyebabkan beberapa perkhidmatan tidak dapat diakses, termasuk pembayaran caj letak kereta secara digital, semakan dan pembayaran kompaun, pembelian Pas Parkir Bulanan, tambah nilai kredit (top-up) serta akses kepada modul IBERSIH dan beberapa perkhidmatan lain.
Sepanjang tempoh gangguan itu, tindakan penguatkuasaan melalui pengeluaran kompaun tidak dilaksanakan bagi mengelakkan kesulitan kepada pengguna yang terjejas.
Dalam kenyataan terbaharu, syarikat itu memaklumkan aplikasi berkenaan kini kembali beroperasi sepenuhnya dan orang ramai boleh menggunakan semula semua kemudahan yang disediakan seperti biasa.
“Perkhidmatan aplikasi kami kini telah kembali pulih dan boleh digunakan seperti biasa. Anda kini boleh meneruskan pembayaran parkir anda.
“Sekiranya anda memerlukan sebarang bantuan lanjut, sila hubungi kami melalui saluran ini,” menurut kenyataan itu.
SSP turut merakamkan penghargaan kepada semua pengguna atas kesabaran, sokongan dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan perkhidmatan tersebut.
“Kami mengucapkan terima kasih atas kesabaran, sokongan dan kerjasama anda sepanjang tempoh gangguan perkhidmatan ini. Kami juga memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku,” menurut kenyataan itu lagi.
Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut atau bantuan lanjut boleh menghubungi Pejabat Pengurusan Tempat Letak Kereta DBKK Holdings di Tingkat 1, KK Plaza Shopping Complex menerusi talian 088-270181 atau 088-270182.



