HomeUtamaPerdana Park Tanjung Aru dibuka semula bermula esok

Perdana Park Tanjung Aru dibuka semula bermula esok

Read Time:1 Minute, 49 Second

KOTA KINABALU : Perdana Park Tanjung Aru di sini akan kembali dibuka kepada orang awam bermula Sabtu ini selepas melalui proses persiapan akhir oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bagi memastikan operasi taman berada pada tahap optimum.

DBKK dalam satu kenyataan memaklumkan, pembukaan semula itu dibuat susulan penyerahan rasmi pengurusan Perdana Park Tanjung Aru oleh Kementerian Kewangan Negeri Sabah kepada DBKK pada 29 Jun 2026.  

Sehubungan itu, Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah mengadakan sesi walkabout Pra Pembukaan bagi menilai kesiapsiagaan fasiliti, kebersihan kawasan serta aspek keselamatan sebelum taman dibuka kepada pengunjung.

Menurut DBKK, taman berkenaan akan beroperasi setiap hari bermula jam 7 pagi hingga 7 malam. 

Selepas waktu operasi, pintu pagar akan ditutup sepenuhnya dan sebarang aktiviti di dalam kawasan taman tidak dibenarkan bagi tujuan keselamatan.

Dalam masa sama, kemudahan tempat letak kereta akan disediakan secara percuma sementara sehingga pelaksanaan sistem pembayaran digital diperkenalkan pada masa akan datang.

Bagaimanapun, beberapa kawasan masih ditutup kepada orang awam kerana berada dalam fasa penilaian keselamatan, termasuk kawasan air pancut berirama, air pancut interaktif, taman permainan kanak-kanak berhampiran pejabat operasi serta sistem dispenser air.

DBKK menegaskan bahawa orang awam dilarang memasuki kawasan berkenaan dan sebarang pelanggaran boleh mengundang risiko keselamatan, selain pihaknya tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang insiden akibat pengingkaran arahan.

Selain itu, kerja-kerja naik taraf akan diteruskan secara berperingkat bagi memperkukuh kemudahan sedia ada serta meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengunjung.

Orang ramai juga dinasihatkan agar berhati-hati ketika menggunakan kemudahan taman seperti trek joging sintetik dan kawasan permainan kanak-kanak, terutama ketika keadaan permukaan licin selepas hujan.

Sehubungan itu, pengunjung diminta mematuhi semua peraturan taman termasuk menjaga kebersihan, tidak merosakkan harta benda awam serta mengikuti arahan dan papan tanda yang disediakan.

Antara larangan yang dikuatkuasakan termasuk memetik tanaman, merokok, membuat bising, membawa haiwan peliharaan serta memasang sebarang sepanduk tanpa kebenaran.

Aktiviti seperti memancing, mandi-manda, barbeku, berkhemah dan penjajaan juga tidak dibenarkan sama sekali, manakala sebarang penganjuran program atau aktiviti perlu mendapat kelulusan rasmi DBKK terlebih dahulu.

DBKK menyeru orang ramai agar terus memberi kerjasama dengan mematuhi semua peraturan ditetapkan bagi memastikan Perdana Park Tanjung Aru kekal sebagai destinasi rekreasi yang selamat, bersih dan selesa untuk semua.

RELATED ARTICLES
Utama

Pengendali ‘Fun Fair’ di Labuan dikompaun gagal pamer caj permainan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular