KUALA PENYU: Seramai 40 pesakit di Hospital Kuala Penyu menerima hamper sempena Program Ziarah Hospital yang menjadi pembuka tirai Sambutan Ma’al Hijrah 1448H/2026M peringkat Daerah Kuala Penyu, baru-baru ini.
Program anjuran Jawatankuasa Sambutan Ma’al Hijrah Daerah Kuala Penyu itu dilaksanakan sebagai pengisian awal sambutan tahunan berkenaan dengan memberi fokus kepada aspek kebajikan, keprihatinan dan sokongan moral kepada pesakit yang sedang menerima rawatan.
Rombongan seramai 20 orang yang terdiri daripada wakil pelbagai jabatan dan agensi negeri serta persekutuan itu diketuai Timbalan Pengerusi jawatankuasa sambutan, Ag. Damit Talip, mewakili Pengerusi Induk Majlis Sambutan Ma’al Hijrah peringkat daerah.
Sepanjang program itu, rombongan menziarahi pesakit di beberapa lokasi termasuk wad lelaki, wad perempuan, wad kanak-kanak, Unit Kecemasan dan Trauma serta unit-unit lain di hospital berkenaan.

Pengagihan hamper berkenaan bukan sahaja bertujuan menceriakan pesakit, malah menjadi simbol keprihatinan masyarakat dan agensi kerajaan terhadap golongan yang sedang berdepan ujian kesihatan.
Dalam masa sama, rombongan turut mengambil kesempatan beramah mesra dengan pesakit dan waris sambil menyampaikan kata-kata semangat agar mereka terus tabah menjalani rawatan.
Selain menziarahi pesakit, ahli rombongan turut melaksanakan aktiviti derma darah sebagai usaha membantu menambah stok bekalan darah Hospital Kuala Penyu untuk kegunaan pesakit yang memerlukan.
Inisiatif derma darah itu turut menerima sokongan Y&Y Group Beaufort yang menyumbang sebagai tanda penghargaan dan galakan kepada penderma yang tampil menyertai program berkenaan.
Sambutan Ma’al Hijrah 1448H/2026M Daerah Kuala Penyu dijadual berlangsung pada 7 Julai ini di Dewan Dato’ Shahbandar Makang dan akan dirasmikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Isnin Aliasnih.
Antara pengisian sambutan ialah Ceramah Khas Ma’al Hijrah oleh Imam Muda Asyraf, persembahan nasyid dan penyampaian Anugerah Ma’al Hijrah Daerah Kuala Penyu sebagai acara kemuncak.



