HomeUtamaUMS anjur program pupuk minat murid sekolah terhadap pertanian moden

UMS anjur program pupuk minat murid sekolah terhadap pertanian moden

Read Time:1 Minute, 33 Second

LAHAD DATU : Penganjuran program Inspirasi Kasih: Mahasiswa Prihatin 2.0 (IKMP 2.0) oleh sekumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Sekolah Kebangsaan Sri Pantai, di sini baru-baru ini mampu memupuk minat murid seawal di bangku sekolah terhadap pertanian moden. 

Program empat hari anjuran oleh jawatankuasa dan sukarelawan Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM) UMS itu antara lain bertujuan memperkenalkan sistem pertanian moden kepada komuniti sekolah luar bandar selaras dengan agenda kelestarian dan inovasi sosial.

Felo Pemantau KKTM UMS, Profesor Madya Ts. Dr. Nur Fadilah Darmansah berkata, pendedahan kepada teknologi hidroponik sejak di bangku sekolah mampu menyemai minat murid terhadap pertanian moden, di samping meningkatkan kesedaran mengenai amalan pertanian mampan.

“Melalui program ini, murid bukan sahaja mempelajari konsep penanaman tanpa tanah, malah berpeluang mengendalikan sendiri sistem hidroponik yang boleh dimanfaatkan secara berterusan oleh pihak sekolah,” katanya.

Menurut beliau, program tersebut dijayakan dengan kerjasama U-Science UMS dan Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) bagi menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 1 (Tiada Kemiskinan) dan SDG 10 (Mengurangkan Ketidaksamaan), menerusi pemerkasaan teknologi pertanian moden di komuniti luar bandar.

Katanya, menerusi Bengkel Teori dan Praktikal Pemasangan Sistem Hidroponik yang dikendalikan beliau, murid didedahkan kepada teknik penanaman tanpa tanah, manakala sukarelawan membantu memasang sistem hidroponik bagi membolehkan ia dimanfaatkan secara berterusan oleh pihak sekolah.

Selain bengkel hidroponik, program itu turut merangkumi aktiviti gotong-royong termasuk kerja mengecat surau, dewan makan dan tandas asrama sekolah.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif kebajikan, seramai 40 murid daripada keluarga B40 menerima sumbangan set alat tulis, manakala pihak sekolah turut menerima sebuah televisyen pintar bagi menyokong pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) berasaskan teknologi.

Majlis penutupan program disempurnakan oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Lahad Datu (Sektor Pembangunan Murid), Lajarudi Lajahidi.

Penganjuran IKMP 2.0 mencerminkan komitmen berterusan UMS dalam memperkasa komuniti luar bandar melalui pemindahan ilmu, teknologi dan kebajikan, sekali gus menyokong pembangunan pendidikan serta kesejahteraan masyarakat.

RELATED ARTICLES
Utama

Pelajar digesa pilih bidang pengajian berpermintaan tinggi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular