HomeUtamaMOF sedia kerjasama dengan kerajaan negeri tambah baik mekanisme penyasaran subsidi

MOF sedia kerjasama dengan kerajaan negeri tambah baik mekanisme penyasaran subsidi

Read Time:3 Minute, 10 Second

Oleh Normimie Diun

PAPAR: Kementerian Kewangan (MOF) sedia bekerjasama dengan semua kerajaan negeri bagi menambah baik mekanisme penyasaran subsidi supaya bantuan kerajaan dapat disalurkan dengan lebih tepat kepada rakyat yang benar-benar layak, selain memastikan tiada golongan yang tercicir daripada menerima manfaat yang disediakan.

Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerjasama itu penting kerana kerajaan negeri lebih memahami keperluan dan situasi rakyat di peringkat akar umbi, sekali gus dapat membantu kerajaan Persekutuan menambah baik mekanisme sedia ada melalui maklum balas yang diberikan.

Beliau berkata, matlamat utama penyasaran subsidi adalah mengurangkan ketirisan supaya subsidi benar-benar sampai kepada golongan yang layak, bukannya mereka yang tidak sepatutnya menerima bantuan.

“Pendekatan pelaksanaannya juga sama penting. Sebab itu kita sentiasa mendengar maklum balas daripada rakyat dan kerajaan negeri. Jika ada perkara yang boleh diperbaiki, kerajaan akan melihat kaedah terbaik untuk menambah baik mekanisme sedia ada.

“Alhamdulillah, setakat ini pelaksanaan subsidi diesel berjalan lancar tanpa sebarang gangguan. Kita juga akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada menerima manfaat yang sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Mikro Kredit Turun Padang di Pasar Tamu Papar, di sini, Ahad.

Program berkenaan diselaraskan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) sebagai agensi peneraju dengan kerjasama lima agensi lain bagi memperluaskan akses pembiayaan mikro kepada usahawan dan peniaga kecil.

Mengulas mengenai pelaksanaan subsidi diesel bersasar, Amir Hamzah berkata kerajaan telah menambah baik mekanisme sedia ada dengan meningkatkan kuota subsidi daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan bagi pemohon yang layak.

Menurutnya, sehingga semalam hampir 200,000 pemilik kenderaan diesel di seluruh negara telah memohon dan diluluskan untuk menerima kuota tambahan tersebut.

Beliau berkata, kerajaan turut memperluaskan kelayakan kepada pemilik kenderaan jenis pikap dan jip kerana memahami kenderaan itu banyak digunakan oleh peniaga kecil untuk mengangkut barangan, peralatan serta penumpang bagi menjalankan aktiviti ekonomi.

Selain itu, katanya, kerajaan turut memberi kelonggaran terhadap syarat pemilikan kenderaan dengan membenarkan kuota subsidi dipindahkan kepada pengguna sebenar sekiranya kenderaan didaftarkan atas nama ahli keluarga lain disebabkan urusan pembiayaan.

“Contohnya, pinjaman dibuat atas nama anak, tetapi kenderaan digunakan oleh ibu bapa atau adik-beradik. Dalam keadaan seperti ini, kerajaan membenarkan kuota dipindahkan kepada pengguna sebenar supaya subsidi benar-benar sampai kepada mereka yang menggunakannya,” katanya.

Amir Hamzah berkata, kerajaan turut mengambil kira hakikat bahawa bukan semua kenderaan diesel digunakan bagi kegunaan persendirian kerana sebahagiannya menjadi sumber pendapatan pemilik untuk mengangkut penumpang atau barangan.

Menurutnya, kenderaan yang digunakan bagi tujuan perniagaan boleh memohon di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang dikendalikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), sekali gus membolehkan mereka menerima kuota diesel melalui penggunaan fleet card mengikut keperluan operasi.

“Melalui fleet card dan penilaian yang dibuat, kerajaan boleh menetapkan kuota yang bersesuaian. Bagi penggunaan persendirian pula, kuota asas ialah 200 liter sebulan dengan tambahan 100 liter bagi mereka yang layak memohon.

“Namun, jika sesebuah kenderaan digunakan sebagai pengangkutan berbayar, contohnya membawa penumpang dari kampung ke kawasan pedalaman atau sebaliknya, ia diklasifikasikan sebagai kenderaan perniagaan dan boleh memohon di bawah SKDS untuk mendapatkan fleet card. Melalui mekanisme itu, kuota diesel boleh disesuaikan mengikut keperluan sebenar,” katanya.

Mengulas sama ada terdapat kelonggaran khusus untuk penduduk luar bandar di Sabah, beliau berkata pendekatan itu bukan hanya terpakai di negeri ini, malah di seluruh negara sekiranya terdapat mekanisme yang membolehkan ia dilaksanakan.

“Kita sentiasa bersedia. Mungkin ia mengambil sedikit masa untuk memastikan mekanisme yang digunakan benar-benar tepat.

“Yang penting, kita bukan sekadar melihat sama ada kuota perlu ditambah, tetapi bagaimana kuota itu diberikan mengikut penggunaan sebenar supaya bantuan benar-benar sampai kepada mereka yang layak.

“Sebab itu kita memerlukan kerjasama kerajaan negeri dan agensi berkaitan untuk menyalurkan maklum balas kepada kerajaan Persekutuan. Dengan maklumat yang tepat, kita boleh menambah baik mekanisme sedia ada supaya bantuan dan subsidi benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Lapan warga asing dihukum atas kesalahan imigresen

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular