HomeUtamaDua beradik usia empat dan lima tahun warnai 'HMM Chess Rapid Championship'

Dua beradik usia empat dan lima tahun warnai ‘HMM Chess Rapid Championship’

Read Time:1 Minute, 31 Second

SANDAKAN :  Penyertaan dua beradik dari Chinese Taipei yang masing-masing berusia empat dan lima tahun mencuri tumpuan pada HMM Chess Rapid Championship Sandakan yang berlangsung selama dua hari di sini.

Ho Che-Ming, 4, dan abangnya, Ho Tse-Ming, 5, menjadi antara peserta paling muda dalam kejohanan itu apabila beraksi dalam kategori terbuka yang bertaraf FIDE Rated bersama pemain-pemain yang jauh lebih berpengalaman.

Lebih membanggakan, kedua-dua mereka berjaya memberikan saingan apabila masing-masing mencatat dua kemenangan daripada sembilan pusingan.

Che-Ming menamatkan kejohanan di kedudukan ke-116 daripada 125 peserta kategori terbuka, manakala Tse-Ming berada di tangga ke-119 dengan turut merekodkan dua kemenangan.

Selain dua beradik berkenaan, kejohanan itu turut disertai pemain dari Indonesia, Zaimal Berahima, yang beraksi dalam kategori terbuka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Datuk Hazem Mubarak Tun Musa yang merasmikan kejohanan itu berkata, penyertaan peserta muda dari luar negara membuktikan sukan catur semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.

“Sukan catur mampu membina kekuatan minda seseorang peserta. Berbeza dengan sukan lain, catur tidak memerlukan tenaga fizikal tetapi memerlukan pemikiran yang tajam dalam mengatur strategi.

“Itulah yang menjadikan sukan ini unik dan mencabar,” katanya kepada media selepas majlis perasmian HMM Chess Rapid Championship Sandakan, di sini.

Menurut Hazem, penyertaan lebih 200 peserta berjaya menghidupkan lagi suasana kejohanan yang bukan sahaja menghimpunkan pemain dari Sandakan dan beberapa daerah di Sabah, malah turut disertai peserta dari luar negeri dan luar negara.

“Terdapat peserta luar negara yang baru berusia empat tahun dan ini merupakan satu perkembangan yang amat baik untuk sukan catur.

“Saya berharap kejohanan seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Mengulas kemungkinan penganjuran kejohanan berskala lebih besar pada masa depan, Hazem berkata perkara itu bergantung kepada sambutan peserta.

“Kita akan lihat. Jika penyertaannya terus meningkat, kita akan buat kejohanan yang lebih besar,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki maut, motosikal dirempuh kereta di Jalan KK-Papar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular