HomeUtamaKerajaan dicadang wujudkan pusat khas Tingkatan Enam di Beaufort

Kerajaan dicadang wujudkan pusat khas Tingkatan Enam di Beaufort

Read Time:1 Minute, 46 Second

BEAUFORT : Sebuah pusat khas Tingkatan Enam dicadang untuk diwujudkan di daerah Beaufort bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif serta meningkatkan kualiti pendidikan prauniversiti di kawasan itu.

Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Ruslan Muharam berkata, cadangan itu mengambil kira pertambahan keperluan pendidikan Tingkatan Enam, khususnya melibatkan pelajar dari beberapa sekolah menengah di daerah Beaufort dan kawasan DUN Lumadan.

Beliau berkata, bagi peringkat permulaan, kerajaan boleh mempertimbangkan penyewaan sebuah bangunan yang sesuai sebelum pembinaan kampus atau bangunan tetap dilaksanakan pada masa hadapan.

“Kalau kerajaan bersetuju dan untuk kita mempercepatkan pelaksanaannya, kita boleh mencari sebuah bangunan kedai yang sesuai untuk disewa sebagai lokasi sementara.

“Selepas itu, kerajaan boleh memikirkan pembinaan sebuah bangunan khas atau mencari lokasi yang sesuai untuk menempatkan pelajar Tingkatan Enam secara lebih terancang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Insentif Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di DUN Lumadan di sini pada Selasa.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, pusat khas itu bukan sahaja akan menempatkan pelajar Tingkatan Enam dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Weston dan SMK Gadong, malah berpotensi menghimpunkan pelajar daripada sekolah-sekolah lain di daerah Beaufort.

Katanya, antara sekolah yang boleh mendapat manfaat daripada cadangan itu ialah SMK St. John, SMK St. Paul, SMK Beaufort 1, SMK Beaufort 2 serta SMK Kota Klias.

Menurut beliau, penempatan pelajar di sebuah pusat khas akan membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan dengan lebih fokus, di samping memudahkan penyediaan kemudahan serta tenaga pengajar yang khusus untuk pendidikan Tingkatan Enam.

“Apabila pelajar Tingkatan Enam ditempatkan di satu pusat khas, guru-guru juga dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada keperluan pembelajaran mereka. Pendekatan ini diyakini mampu meningkatkan mutu pendidikan serta pencapaian akademik pelajar,” katanya.

Ruslan berkata, cadangan itu juga dilihat sebagai satu langkah strategik dalam memperkukuh sistem pendidikan prauniversiti di daerah Beaufort, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada pelajar luar bandar untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

Beliau berharap cadangan berkenaan mendapat pertimbangan positif daripada kerajaan demi memastikan akses kepada pendidikan berkualiti terus diperkasakan, selaras dengan usaha melahirkan modal insan yang berdaya saing dan berkemahiran tinggi.

RELATED ARTICLES
Utama

Gotong-royong komuniti di Kg Sri Aman, 827 kg sisa berjaya dikutip

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular