HomeUtamaSuami bunuh isteri dipenjara 35 tahun, 15 sebatan

Suami bunuh isteri dipenjara 35 tahun, 15 sebatan

Read Time:2 Minute, 14 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang lelaki dipenjara 35 tahun dan dikenakan 15 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku bersalah membunuh isterinya di kuarters pekerja sebuah restoran, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Arip Muktar, 31, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Celestina Stuel Galid pada Isnin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri telah membunuh isterinya, Belnita Abdul Saleh, antara jam 5 pagi hingga 8.30 pagi pada 18 April 2023 di kuarters pekerja Restoran Al Jaseem, Jalan Pantai, dekat sini.

Tertuduh disabit kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun. Jika tidak dijatuhi hukuman mati, pesalah hendaklah dikenakan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa dan tertuduh merupakan pasangan suami isteri yang tinggal bersama di kuarters pekerja restoran berkenaan.

Pada kira-kira jam 5 pagi hari kejadian, seorang rakan sekerja yang menginap di bilik berasingan terdengar seorang wanita menjerit di luar biliknya.

Bagaimanapun, wanita itu tidak berani keluar untuk memeriksa keadaan. Rakan sebiliknya keluar dan kemudian memaklumkan bahawa tertuduh sedang bertengkar dengan isterinya sebelum mereka kembali tidur.

Kira-kira jam 8.30 pagi, tertuduh membuka pintu bilik rakan sekerjanya dalam keadaan muka, pakaian dan seluarnya berlumuran darah.

Tertuduh memberitahu dia bergaduh dengan isterinya sebelum mengarahkan kedua-dua wanita itu pulang ke Pulau Gaya supaya tidak terbabit dengan siasatan polis.

Bimbang akan keselamatan mereka, kedua-dua wanita terbabit meninggalkan kuarters pekerja dan menghubungi majikan mereka.

Majikan kemudian pergi ke restoran berkenaan sebelum mengarahkan dua pekerjanya memeriksa kuarters pekerja. Mereka menemui tertuduh dan mangsa terbaring di dalam bilik, lalu menghubungi polis dan ambulans.

Pasukan perubatan yang tiba di lokasi mendapati mangsa tidak mempunyai tanda-tanda kehidupan, manakala tertuduh yang mengalami kecederaan di leher masih bernyawa sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut.

Bedah siasat yang dijalankan keesokan harinya mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan pada leher yang berpunca daripada tekanan dikenakan pada bahagian itu.

Semasa rayuan, tertuduh yang diwakili peguam Mohd Al Hafidz Mohd Lokman antara lain memohon hukuman ringan kerana tertuduh yang merupakan pesalah pertama benar-benar menyesali perbuatannya serta menerima sepenuhnya tanggungjawab terhadap kesalahan itu tanpa menyalahkan mana-mana pihak.

Timbalan Pendakwa Raya Dana Arabi Wazani pula meminta hukuman setimpal dengan mengambil kira keseriusan kes.

Dana antara lain berhujah kesalahan itu membabitkan pelanggaran kepercayaan dalam hubungan rumah tangga kerana mangsa ialah isteri tertuduh yang sepatutnya dilindungi daripada sebarang bentuk keganasan.

Beliau turut menegaskan bahawa mangsa sedang hamil ketika kejadian, menyebabkan perbuatan tertuduh bukan sahaja meragut nyawa isterinya, malah turut mengorbankan kandungan yang belum dilahirkan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh ditangkap, iaitu pada 18 April 2023.

RELATED ARTICLES
Utama

Tempah bilik hotel guna kad ATM rakan, lelaki dipenjara tiga tahun

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular