KENINGAU: Seorang wanita didenda RM15,000 oleh Mahkamah Majistret di sini kelmarin selepas mengaku bersalah menjual produk pengganti tembakau (vape) yang tidak mematuhi standard pelabelan dan pembungkusan.
Tertuduh, Laila Ranis, 45, turut berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda. Bagaimanapun, Laila telah menjelaskan denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, Laila didapati menjual produk pengganti tembakau iaitu yang tidak dibungkus dan tidak dilabel mengikut kehendak yang ditetapkan pada 21 Januari 2025, jam 11. 25 pagi di premis Boss Vape Shop, Keningau.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(2)(a)(i) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut mengarahkan semua barang kes dilupuskan oleh pihak pendakwaan dalam tempoh 14 hari.
Berdasarkan fakta kes, hasil pemeriksaan penguatkuasaan mendapati premis itu menjual pelbagai produk pengganti tembakau yang tidak dibungkus dan tidak dilabel mengikut standard yang ditetapkan.
Pegawai Pendakwa Jabatan Kesihatan, Rals Benjamin Yakod, mengendalikan pendakwaan.
Semasa memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran, Rals berhujah bahawa kegagalan tertuduh menjual produk vape mengikut kehendak undang-undang menyebabkan pengguna tidak mengetahui kandungan sebenar produk serta amaran kesihatan yang sepatutnya dipaparkan.
“Keadaan ini meningkatkan risiko kesihatan kepada pengguna, menyukarkan penguatkuasaan undang-undang dan menjejaskan usaha kerajaan bagi memastikan hanya produk yang mematuhi piawaian keselamatan berada di pasaran,” katanya.
Menurutnya, keperluan pembungkusan dan pelabelan diwujudkan bagi memastikan setiap produk yang dijual mematuhi piawaian keselamatan serta memaparkan maklumat dan amaran kesihatan yang diperlukan.
Katanya lagi, pematuhan terhadap keperluan pembungkusan dan pelabelan penting bagi membolehkan pengguna mengetahui maklumat produk vape, di samping menyokong usaha kerajaan mengawal penjualan produk merokok dan produk pengganti tembakau.



