HomeUtamaLelaki didenda RM194,000 berhubung bekalan elektrik haram

Lelaki didenda RM194,000 berhubung bekalan elektrik haram

Read Time:2 Minute, 45 Second

Oleh J Evachel John

SANDAKAN: Seorang lelaki didenda keseluruhan RM194,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan berkaitan bekalan elektrik secara haram di sebuah penempatan setinggan.

Tertuduh, Zaini Mubin, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Roslinda Razali.

Kesemua empat kesalahan itu didakwa dilakukan di perkampungan setinggan Kampung Kagayan, Jalan Datuk Tay, dekat sini pada 1 Julai lalu, jam 5.30 pagi.

Bagi pertuduhan pertama, Zaini didenda RM80,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda kerana membekalkan elektrik secara haram melalui sambungan kabel secara terus daripada punca utama talian atas pada tiang kabel milik Sabah Electricity Sdn. Bhd. kepada penduduk rumah-rumah setinggan di sekitar Kampung Kagayan tanpa memiliki lesen pengagihan.

Dia didakwa mengikut Subseksyen 8(1)(b) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 8(7)(b) enakmen sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut didenda RM80,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda kerana mengganggu pepasangan milik Sabah Electricity dengan membuat penyambungan elektrik secara haram daripada pepasangan itu terus ke rumah-rumah setinggan di sekitar Kampung Kagayan sehingga boleh membahayakan nyawa, anggota badan manusia serta menyebabkan kerosakan pada pepasangan berkenaan.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Subseksyen 61(1) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, Zaini didenda RM4,000 atau sebulan penjara jika gagal membayar denda kerana mengambil bekalan elektrik secara haram melalui sambungan terus daripada punca utama talian atas pada tiang kabel milik Sabah Electricity ke rumah kediaman setinggan, sehingga menyebabkan Sabah Electricity mengalami kekurangan caj dan kerugian.

Dia didakwa mengikut Subseksyen 61(3)(a) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 61(3)(i) enakmen sama yang memperuntukkan denda tidak kurang RM1,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan keempat, Zaini didenda RM30,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda.

Pertuduhan menyatakan tertuduh didapati memasang sambungan elektrik secara haram melalui penyambungan terus daripada tiang kabel milik Sabah Electricity ke rumah-rumah kediaman setinggan di Kampung Kagayan.

Dia didakwa mengikut Subseksyen 61(8) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh, yang merupakan pemegang dokumen IMM13, dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Andryeno Thomas.

Dalam hujah pemberatan hukuman, Andryeno memohon mahkamah mengenakan hukuman yang tegas dan setimpal sebagai balasan terhadap perbuatan tertuduh, selain memberi mesej bahawa kesalahan yang menjejaskan keselamatan infrastruktur utiliti dan nyawa masyarakat tidak akan dipandang ringan.

Beliau berkata, kesalahan itu bukan sekadar melibatkan pengambilan elektrik secara haram untuk kegunaan sendiri, sebaliknya tertuduh mengeksploitasi bekalan elektrik yang dicuri dengan menjualnya kepada lapan rumah jiran pada kadar antara RM20 hingga RM50 sebulan bagi memperoleh keuntungan.

Menurutnya, kesalahan itu juga bukan dilakukan secara spontan kerana tertuduh sendiri mengaku menjalankan aktiviti berkenaan selama kira-kira dua tahun, sekali gus menunjukkan niat yang berterusan untuk melanggar undang-undang

Tertuduh yang tidak diwakili peguam gagal membayar denda dan menjalani hukuman penjara seperti diperintahkan mahkamah.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis siasat dakwaan kes buli libatkan dua murid sekolah rendah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular