KOTA KINABALU: Polis sedang menyiasat dakwaan kejadian buli dan serangan fizikal yang membabitkan dua murid sekolah rendah di daerah ini selepas menerima satu laporan polis pada 7 Julai lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, laporan itu dibuat oleh bapa kepada kedua-dua mangsa yang mendakwa anak-anaknya menjadi mangsa gangguan dan serangan fizikal oleh seorang murid lelaki.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian pertama dipercayai berlaku pada 6 Julai apabila seorang murid perempuan berusia 12 tahun didakwa ditendang pada bahagian belakang kepala oleh rakan sekelasnya.
“Keesokan harinya, adik mangsa yang turut bersekolah di sekolah sama pula didakwa ditendang pada bahagian perut oleh murid lelaki yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa perempuan dilaporkan mengalami sakit kepala, manakala adiknya berada dalam keadaan trauma dan ketakutan susulan kejadian itu.
Katanya, pengadu turut mendakwa suspek sering mengganggu kedua-dua mangsa melalui panggilan berunsur hinaan serta gangguan fizikal di dalam kelas, yang dipercayai berlaku secara berterusan sejak awal sesi persekolahan.
Syed Lot berkata, polis kini menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti identiti penuh suspek, merakam percakapan mangsa, saksi, guru serta pihak pentadbiran sekolah.
“Pemeriksaan perubatan terhadap mangsa turut dijalankan bagi menentukan tahap kecederaan yang dialami,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan serta Seksyen 507(b) Kanun Keseksaan.
Beliau menegaskan polis memandang serius sebarang bentuk buli dan keganasan yang melibatkan kanak-kanak serta akan menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh menjejaskan siasatan serta mendedahkan identiti kanak-kanak yang terlibat.
Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Movendran A/L Apoorvasamy di talian 018-5746310 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. Semua maklumat yang diterima akan dirahsiakan.



