KOTA KINABALU : Dua premis perniagaan di kawasan bandar Tawau dikenakan tindakan kompaun oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau selepas didapati gagal mematuhi peruntukan undang-undang berkaitan penandaan harga.
Tindakan itu diambil dalam satu operasi pemeriksaan yang dijalankan penguat kuasa KPDN pada Selasa lalu bagi memantau aktiviti perdagangan serta memastikan peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan.
KPDN Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, hasil pemeriksaan mendapati sebuah premis pasar raya dan sebuah premis perkhidmatan mencuci kereta gagal mempamerkan tanda harga jualan tunai bagi barangan serta caj perkhidmatan yang ditawarkan kepada pengguna.
Katanya, perbuatan itu merupakan satu kesalahan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 yang dibuat menurut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723].
“KPDN menegaskan bahawa setiap barangan yang ditawarkan kepada pengguna hendaklah dipamerkan dengan tanda harga yang jelas dan mudah dilihat.
“Perkara ini amat penting khususnya bagi barangan kawalan berjadual seperti minyak masak, gula dan lain-lain bagi menjamin ketelusan dalam urus niaga serta melindungi hak pengguna,” menurut kenyataan itu.
KPDN turut mengingatkan bahawa sekiranya disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan berulang, penalti boleh meningkat sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, bagi syarikat yang melakukan kesalahan, denda sehingga RM100,000 boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan sehingga RM250,000 bagi kesalahan seterusnya.
Dalam operasi sama, sebanyak 35 Kenyataan Pemeriksaan Premis (KPP) turut dikeluarkan ke atas premis-premis perniagaan yang diperiksa.
KPDN Sabah memaklumkan pihaknya akan terus mempertingkatkan pemantauan dari semasa ke semasa, khususnya menjelang musim perayaan, bagi memastikan aktiviti perniagaan berjalan secara beretika dan mematuhi undang-undang demi melindungi kepentingan pengguna.
Orang ramai yang mempunyai aduan atau pertanyaan berkaitan isu kepenggunaan boleh menyalurkannya melalui saluran rasmi KPDN termasuk e-Aduan KPDN, talian pejabat KPDN Tawau atau WhatsApp Aduan Pengguna.



