KOTA KINABALU: Masyarakat di negeri ini diseru agar memahami sejarah pembentukan Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah yang diraikan serentak pada 31 Ogos ini.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pemahaman terhadap sejarah amat penting supaya rakyat dapat menghayati makna sebenar di sebalik sambutan dua perayaan berkenaan.
Beliau berkata, apabila signifikan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah digabungkan, ia membawa kepada pemahaman bahawa kewujudan Malaysia berkait rapat dengan kemerdekaan Sabah.
“Kalau kita gabungkan signifikan kedua-dua perayaan ini, kita akan membuat kesimpulan bahawa kewujudan Malaysia bermula dengan kemerdekaan Sabah.

“Kemerdekaan Sabah dicapai rentetan daripada rancangan penubuhan Persekutuan Malaysia. Oleh itu, amat penting bagi setiap rakyat untuk memahami lembaran sejarah negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, di Istana Seri Kinabalu, pada Selasa.
Masidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2026 berkata, kunjungan tersebut bertujuan menjemput secara rasmi Tun Musa untuk menghadiri sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah yang akan berlangsung pada 31 Ogos ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata sambutan Hari Kebangsaan yang dijadual berlangsung di Dataran Bandaraya pada sebelah pagi dijangka meriah dengan penyertaan pelbagai kontinjen.
“Setakat ini, seramai 180 kontinjen telah memohon untuk mengambil bahagian, termasuk kontinjen beruniform, tidak beruniform, kontinjen sekolah dan juga persatuan.
“Perarakan ini akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua jam dan kita harapkan akan tamat pada jam 11 pagi,” katanya.
Sementara itu, Masidi berkata sambutan Hari Sabah pada malam 31 Ogos pula akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada golongan belia dan generasi muda sebagai pewaris masa depan negeri.
Menurutnya, persembahan yang dirancang akan berkisar kepada tema masa depan Sabah, peranan generasi muda serta usaha membawa negeri ini ke arah yang lebih gemilang.
“Persembahan pada malam 31 Ogos bagi sambutan Hari Sabah akan berkisar kepada tema melihat ke hadapan, peranan orang muda dan bagaimana membawa negeri ini ke arah yang lebih gemilang.
“Kita memikirkan bahawa sebenarnya generasi muda inilah penentu kepada kecemerlangan dan kegemilangan Sabah,” katanya.
Hadir sama dalam kunjungan itu ialah Pembantu Menteri Kewangan I, Datuk Ben Chong Chen Bin; Pembantu Menteri Kewangan II, Datuk Sr. Mohd Ishak Ayub; dan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Sabin Samitah.



