HomeUtamaPermintaan tinggi, tempahan melebihi had punca tiket feri Menumbok–Labuan habis awal

Permintaan tinggi, tempahan melebihi had punca tiket feri Menumbok–Labuan habis awal

Read Time:2 Minute, 3 Second

LABUAN : Permintaan penumpang yang tinggi sehingga tempahan melebihi kapasiti perjalanan dikenal pasti sebagai punca utama tiket feri bagi laluan Menumbok–Labuan habis lebih awal pada Rabu lalu, sekali gus mencetuskan kekeliruan dalam kalangan pengguna.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan dalam satu kenyataan memaklumkan, hasil semakan bersama pihak pengusaha feri mendapati jadual asal perjalanan bagi laluan Menumbok ke Labuan pada 8 Julai hanya menyediakan perjalanan terakhir pada jam 8 malam.

Menurut kenyataan itu, tempahan yang diterima menerusi sistem dalam talian dan jualan di kaunter bagi perjalanan tersebut telah melebihi kapasiti yang disediakan, menyebabkan tiket perjalanan jam 8 malam ditutup selepas had tempahan dicapai.

“Dalam keadaan itu, kenderaan yang berada dalam senarai menunggu juga tidak berpeluang menaiki feri pada perjalanan berkenaan,” menurut kenyataan itu di sini pada Khamis.

Susulan permintaan yang tinggi, pengusaha feri kemudiannya mengambil keputusan membuka satu perjalanan tambahan pada jam 7 malam bagi menampung keperluan penumpang.

KPDN memaklumkan perjalanan tambahan itu diwujudkan selepas tempahan bagi perjalanan jam 8 malam telah melebihi kapasiti asal, dan penjualan tiket hanya dimulakan selepas keputusan berkenaan dibuat.

Bagaimanapun, selepas perjalanan tambahan dibuka, sebahagian penumpang yang telah mempunyai tiket bagi perjalanan jam 8 malam memilih untuk menukar tempahan mereka ke perjalanan jam 7 malam.

Menurut KPDN, pertukaran itu melibatkan 20 kenderaan persendirian serta tujuh kenderaan berat termasuk lori dan treler, sekali gus mengurangkan jumlah kenderaan yang dijadualkan menaiki feri pada perjalanan jam 8 malam.

Dalam masa sama, beberapa kenderaan yang telah membuat tempahan turut dilaporkan tidak hadir pada waktu pelepasan, menyebabkan perjalanan jam 8 malam kelihatan seolah-olah masih mempunyai ruang kosong.

“Keadaan ini menimbulkan persepsi bahawa tiket bagi perjalanan jam 8 malam masih tersedia, sedangkan tiket sebenarnya telah habis ditempah sebelum perjalanan tambahan dibuka,” jelas kenyataan itu.

KPDN WP Labuan turut menjelaskan bahawa ketika pengadu hadir ke kaunter untuk mendapatkan maklumat, tiket perjalanan jam 8 malam sememangnya telah habis ditempah dan ditutup, manakala keputusan untuk membuka perjalanan tambahan pada jam 7 malam masih belum dibuat ketika itu.

Justeru, maklumat yang diberikan kepada pengadu adalah berdasarkan status tempahan semasa pada waktu pertanyaan dibuat.

Mengulas lanjut, KPDN WP Labuan berkata pihak pengusaha feri telah mengambil maklum berhubung perkara itu dan akan meneliti langkah penambahbaikan, khususnya dalam aspek penyelarasan sistem tempahan serta penyampaian maklumat kepada penumpang apabila berlaku perubahan operasi atau pembukaan perjalanan tambahan.

KPDN menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan agensi serta pihak berkaitan bagi memastikan kepentingan pengguna sentiasa dipelihara, di samping meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai.

RELATED ARTICLES
EkonomiUtama

Loji janakuasa 200MW SOGIP dijangka siap suku ketiga 2027

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular