KOTA KINABALU: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan beberapa kawasan di Sabah yang dijangka berterusan sehingga jam 9 pagi ini.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, kawasan terlibat ialah Pantai Barat meliputi Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud, selain daerah Kudat di bahagian utara negeri ini.
Menurut kenyataan itu, amaran berkenaan dikeluarkan susulan tanda-tanda cuaca yang menunjukkan kemungkinan berlakunya ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam, sama ada hampir berlaku atau dijangka berterusan melebihi tempoh sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya penduduk di kawasan terlibat dinasihatkan supaya lebih berwaspada, mengelakkan aktiviti luar yang berisiko ketika cuaca buruk serta sentiasa mengikuti maklumat dan amaran cuaca semasa yang dikeluarkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.



