HomeUtamaLelaki ugut bekas isteri ditahan polis

Lelaki ugut bekas isteri ditahan polis

Read Time:1 Minute, 10 Second

TAWAU: Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki mengugut bekas isterinya dengan senjata tajam ketika datang mengambil anak mereka di Kampung Kurnia Jaya, di sini.

Suspek berusia lingkungan 26 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau susulan laporan polis yang dibuat berhubung kejadian itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, kejadian berlaku apabila suspek yang juga bekas suami pengadu dipercayai datang ke rumah untuk mengambil anak mereka.

“Pengadu mendakwa ternampak suspek membawa senjata tajam sebelum suspek mengeluarkan ugutan berbaur ancaman terhadapnya sehingga menyebabkan mangsa bimbang akan keselamatan diri lalu tampil membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada BSJ IPD Tawau berjaya mengesan dan menahan suspek di tepi jalan Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas.

“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek merupakan seorang warga asing yang berada dan menetap di Malaysia tanpa memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya IPD Tawau, dalam mengambil tindakan tegas terhadap sebarang bentuk jenayah yang mengancam keselamatan masyarakat.

Sehubungan itu, orang ramai diseru supaya terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis serta segera membuat laporan sekiranya menjadi mangsa atau mengetahui sebarang kejadian jenayah bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan komuniti sentiasa terpelihara.

RELATED ARTICLES
Utama

Kes gaduh di restoran: Dua wanita ditahan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular