BEAUFORT: Sebanyak 100 pokok lada bara diserahkan kepada Persatuan Isteri-Isteri Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (PRISMA) Beaufort sebagai permulaan projek perintis Kebun Dapur yang bertujuan menggalakkan penglibatan keluarga kakitangan kerajaan dalam sektor pertanian serta meningkatkan kesejahteraan ekonomi isi rumah.
Penyerahan pokok lada bara itu disempurnakan oleh Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam.
Ruslan berkata, projek tersebut direalisasikan selepas PRISMA mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat ADUN Lumadan kira-kira dua bulan lalu bagi menyatakan hasrat untuk menceburi bidang pertanian.
“Hari ini kita berjaya menunaikan hasrat mereka dengan menyerahkan 100 pokok lada bara untuk ditanam menerusi konsep Kebun Dapur yang diperkenalkan oleh Yang Berhormat Menteri Pertanian.
“Kesemua pokok itu terus ditanam di dalam polibeg yang telah disediakan dan dijangka mula mengeluarkan hasil dalam tempoh kira-kira sebulan,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan pengalaman peserta program terdahulu, sebanyak 50 pokok lada bara mampu menghasilkan kira-kira enam kilogram hasil setiap bulan.

Justeru, beliau menjangkakan 100 pokok yang diterima PRISMA mampu menghasilkan sekitar 10 hingga 12 kilogram lada bara sebulan, sekali gus berpotensi menjana pendapatan tambahan kepada peserta sekiranya lebihan hasil dipasarkan.
Menurutnya, selain membantu mengurangkan perbelanjaan membeli cili untuk kegunaan harian, projek itu juga boleh menjadi sumber pendapatan sampingan kepada keluarga.
“Jika projek ini berjaya, ia boleh dijadikan model perintis untuk diperluaskan kepada kakitangan kerajaan atau isteri-isteri kakitangan kerajaan lain yang sebelum ini kurang terlibat dalam aktiviti pertanian,” katanya.
Ruslan berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja menggalakkan budaya bercucuk tanam dalam kalangan masyarakat, malah memberi peluang kepada peserta menikmati hasil tanaman sendiri di samping meningkatkan ekonomi keluarga.
Beliau berharap projek perintis itu akan mendapat sambutan menggalakkan dan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan lebih banyak program Kebun Dapur di negeri ini, khususnya melibatkan komuniti setempat dan keluarga kakitangan kerajaan.



