HomeUtamaHospital Gantian Ranau bakal tingkat akses perkhidmatan kesihatan berkualiti

Hospital Gantian Ranau bakal tingkat akses perkhidmatan kesihatan berkualiti

Read Time:1 Minute, 27 Second

KOTA KINABALU: Pembinaan Hospital Gantian Ranau yang sedang giat diusahakan menerusi kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Kerajaan Negeri dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan akses penduduk daerah itu terhadap perkhidmatan kesihatan yang lebih moden, selesa dan berkualiti.

Pengarah JKNS, Datuk Dr. William Gotulis berkata, projek berimpak tinggi itu merupakan antara keutamaan jabatan dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan di Ranau selaras dengan pertambahan populasi dan peningkatan keperluan rawatan.

Beliau berkata, hospital gantian tersebut akan dilengkapi pelbagai kemudahan moden dan komprehensif, termasuk kapasiti yang lebih besar bagi menampung peningkatan jumlah pesakit, sekali gus mengurangkan kesesakan di Hospital Ranau sedia ada.

“Projek ini bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan rakyat, malah memperkukuh keupayaan sistem kesihatan awam di kawasan luar bandar dan pedalaman, selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri serta Kerajaan Persekutuan untuk memastikan setiap rakyat menikmati akses kepada kemudahan kesihatan yang berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengetuai rombongan JKNS ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun, baru-baru ini.

Dalam kunjungan itu, Masidi diberikan taklimat mengenai perkembangan semasa projek Hospital Gantian Ranau, termasuk status perancangan serta cadangan tapak pembinaan hospital berkenaan.

Beliau menyambut baik usaha merealisasikan projek itu dan menyifatkannya sebagai satu inisiatif penting yang bakal memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan di Ranau, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk daerah tersebut serta kawasan sekitarnya.

Selain meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan, hospital baharu itu turut dijangka menjadi pemangkin pembangunan sosioekonomi setempat melalui penambahbaikan infrastruktur, pewujudan peluang pekerjaan dan pertumbuhan aktiviti ekonomi yang mampu memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat.

Masidi turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan JKNS atas komitmen berterusan dalam merealisasikan projek berkenaan, selain berharap pembinaannya dapat dilaksanakan mengikut jadual bagi memastikan penduduk Ranau menikmati kemudahan kesihatan yang lebih baik pada masa hadapan.

RELATED ARTICLES
Utama

Kampung Angkat MADANI KPDN dilancar di Kampung Sekalong

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular