HomeUtamaKerajaan Persekutuan terbuka tambah baik penyasaran subsidi diesel di Sabah, Sarawak

Kerajaan Persekutuan terbuka tambah baik penyasaran subsidi diesel di Sabah, Sarawak

Read Time:2 Minute, 37 Second

Oleh Normimie Diun

KUALA PENYU: Kerajaan Persekutuan bersedia menambah baik pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan dengan mengambil kira realiti di peringkat akar umbi menerusi kerjasama erat bersama kerajaan negeri.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pada 1 Julai lalu dibuat selepas sistem sama dilaksanakan terlebih dahulu di Semenanjung Malaysia sejak tahun lalu bagi memastikan mekanisme pelaksanaannya berjalan lancar.

Katanya, kerajaan sedar pelaksanaan di Sabah, Sarawak dan Labuan menimbulkan beberapa isu yang memerlukan penambahbaikan memandangkan penggunaan diesel di kedua-dua negeri itu jauh lebih tinggi berbanding Semenanjung.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Kewangan Kedua sebelum ini telah menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan terbuka kepada penambahbaikan dengan kerjasama kerajaan negeri kerana kerajaan negeri lebih memahami realiti di peringkat akar umbi.

“Kementerian Kewangan (MOF) juga telah memulakan libat urus dengan agensi kerajaan di Sabah dan Sarawak bagi mengenal pasti isu pelaksanaan serta mencari penyelesaian terbaik,” katanya kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Kampung Angkat MADANI KPDN di Kampung Sekalong, Menumbok di sini, hari ini.

Armizan berkata, Ketua Setiausaha Perbendaharaan turut dijadual mengadakan pertemuan dengan wakil rakyat bagi mendapatkan maklum balas secara langsung mengenai isu khusus yang dihadapi di kawasan masing-masing.

Beliau berkata, kerjasama kerajaan negeri amat penting kerana terdapat kumpulan sasar yang lebih mudah dikenal pasti melalui agensi di peringkat negeri.

“Ada kes tertentu yang agensi Persekutuan tidak ada di peringkat akar umbi, jadi agensi negeri boleh membantu dari segi pendaftaran dan pengesahan kumpulan sasar. Saya yakin Kerajaan Persekutuan bersedia membuat penambahbaikan sekiranya data dan mekanisme pengesahan dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Menurutnya, sebarang penambahbaikan akan berpandukan tiga prinsip utama iaitu mengambil kira kos sara hidup rakyat, mengurangkan risiko ketirisan subsidi dan memastikan kedudukan fiskal kerajaan kekal mampan.

Beliau berkata, subsidi tidak lagi boleh diberikan secara menyeluruh, sebaliknya perlu disasarkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Mengulas kekeliruan mengenai peranan KPDN dan MOF dalam pelaksanaan subsidi diesel, Armizan menjelaskan dasar penyasaran subsidi dirangka oleh MOF, manakala KPDN bertanggungjawab terhadap kawal selia pelaksanaannya di stesen minyak.

“Polisi penyasaran subsidi diesel adalah di bawah MOF. KPDN hanya melaksanakan kawal selia di stesen minyak kerana pelaksanaannya berlaku di situ. Sebab itu segala rundingan dan libat urus berkaitan penambahbaikan dasar diketuai oleh Kementerian Kewangan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Armizan berkata kerajaan turut melaksanakan penambahbaikan segera terhadap Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dengan memperluaskan kemudahan fleet card kepada syarikat dan perusahaan kecil yang sebelum ini tidak layak.

Katanya, sebelum ini skim berkenaan hanya melibatkan sektor pengangkutan awam dan pengangkutan barangan keperluan pengguna, menyebabkan ramai kontraktor serta peniaga kecil yang menggunakan kenderaan diesel bagi tujuan perniagaan tidak layak menerima subsidi kerana kenderaan didaftarkan atas nama syarikat.

“Perkara ini kita bawa ke Kabinet dan dipersetujui supaya syarikat kecil termasuk perusahaan milikan tunggal dan perkongsian turut layak menerima fleet card.

“Mereka kini layak menerima kuota sebanyak 300 liter diesel bersubsidi sebulan walaupun kenderaan didaftarkan atas nama syarikat, bukan individu,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu membuktikan Kerajaan Persekutuan sentiasa bersedia menambah baik dasar sedia ada selagi mekanisme pengesahan kumpulan sasar dapat dilaksanakan dengan berkesan bagi memastikan subsidi disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

RELATED ARTICLES
Utama

Dua ditahan, minyak sawit mentah bernilai lebih RM400,000 dirampas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular