HomeUtamaJelajah Kebun Dapur Melalap tarik sambutan luar jangka

Jelajah Kebun Dapur Melalap tarik sambutan luar jangka

Read Time:2 Minute, 57 Second

TENOM: Program Jelajah Kebun Dapur peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap mendapat sambutan menggalakkan apabila menarik kehadiran masyarakat setempat serta peserta dari luar kawasan, termasuk Keningau, bagi memahami pelbagai inisiatif yang diperkenalkan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI).

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar, berkata program yang berlangsung di Dewan OKK Datuk Sanggau Jalang, Melalap, pada Sabtu bukan sahaja memfokuskan pembangunan kebun dapur, malah turut diisi dengan ceramah berkaitan akademik, kenegaraan dan semangat patriotisme.

“Kita melaksanakan Jelajah Kebun Dapur untuk DUN Melalap dengan pelbagai pengisian sepanjang program ini. Sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan kehadiran masyarakat dari Melalap dan kawasan lain seperti Keningau,” katanya selepas merasmikan program itu.

Jamawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, pendekatan yang diperkenalkan menerusi program itu berbeza daripada bantuan pertanian konvensional kerana kementerian tidak mahu peserta terlalu bergantung kepada subsidi.

Sebaliknya, katanya, kementerian memperkenalkan kaedah potongan harga bagi input pertanian dan penternakan bagi menggalakkan peserta lebih berdikari dalam mengusahakan projek masing-masing.

“Banyak program sebelum ini kurang berjaya kerana terlalu bergantung kepada subsidi. Sebab itu kita memperkenalkan inisiatif potongan harga.

“Anak ayam dijual pada harga RM2.50 seekor berbanding RM5 di pasaran. Anak ikan pula dijual pada harga 15 sen seekor berbanding sekitar 30 sen di pasaran, manakala benih nanas MD2 yang biasanya berharga antara RM3 hingga RM4.50 dijual pada harga RM1.50 sahaja,” katanya.

Beliau berkata, benih sayuran berdaun turut diberikan secara percuma kepada peserta program.

Selain itu, katanya, kementerian memperkenalkan kursus penanaman halia menggunakan kaedah moden yang mampu meningkatkan hasil sekali gus menambah pendapatan isi rumah.

“Program tanaman halia ini merupakan antara inisiatif baharu yang kita laksanakan sejak awal tahun menggunakan sistem yang lebih moden dan sistematik. Kaedah ini mampu memberikan pulangan yang lebih lumayan kepada peserta,” katanya.

Mengulas amaran kemungkinan berlakunya fenomena Super El Nino pada November ini, Jamawi berkata kementerian telah mengadakan perbincangan dengan agensi berkaitan bagi memastikan komuniti pertanian membuat persediaan awal.

Beliau berkata, petani dinasihatkan supaya tidak membuka kawasan baharu secara besar-besaran dan mula menyediakan kolam takungan kecil di kebun masing-masing sebagai sumber bekalan air ketika musim kering.

“Kita juga memberi kesedaran kepada petani, penternak dan nelayan bahawa fenomena El Nino yang mungkin berpanjangan selama tiga hingga empat bulan boleh memberi kesan langsung kepada sektor pertanian, perikanan, industri makanan dan penternakan.

“Dengan persediaan awal, kita berharap impak yang bakal berlaku dapat dikurangkan,” katanya.

Sementara itu, Jamawi berkata daerah Tenom dipilih sebagai tuan rumah Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sabah yang dijadual berlangsung dari 11 hingga 13 September depan.

Katanya, pelbagai program dirancang sepanjang penganjuran itu termasuk pameran, lawatan, aktiviti pertanian serta penyampaian anugerah kepada pengusaha terbaik dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan.

“Ini kali pertama program berskala negeri ini dibawa ke kawasan pedalaman dan kita percaya ia akan memberi impak positif kepada masyarakat luar bandar.

“Kita mahu menunjukkan bahawa sektor pertanian, penternakan, industri makanan dan getah mampu diusahakan secara komersial serta memberikan pulangan yang lumayan kepada masyarakat kampung,” katanya.

Beliau berkata, kementerian turut merancang menjemput Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, bagi merasmikan sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sabah itu.

Terdahulu, Jamawi merasmikan sebuah kedai bunga di Kampung Muhibbah, Keningau, sebelum menyantuni rombongan pelawat dari Kampung Linuk, Tambunan yang mengadakan lawatan ke Taman Pertanian Sabah di Tenom.

Turut hadir Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Ruslan Muharam; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Jumain Abdul Ghani; Timbalan Setiausaha Tetap, Maria David Edick; Penolong Pegawai Daerah Tenom, Dr Zulasri Piting; Pengarah LIGS, Sabdil Tanjong; Timbalan Pengarah Pertanian, Jackson R. Jaimi, serta pegawai kementerian dan pemimpin setempat.

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan perkukuh usaha tangani isu `stateless’ secara sistematik

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular