HomeUtamaDUN Sabah: Pengalihan utiliti antara punca kelewatan Pan Borneo Sabah

DUN Sabah: Pengalihan utiliti antara punca kelewatan Pan Borneo Sabah

Read Time:2 Minute, 46 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Pengalihan utiliti, termasuk pemindahan tiang elektrik, merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada kelewatan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, berkata bagaimanapun proses itu bukan hanya melibatkan tiang elektrik, sebaliknya turut membabitkan kabel telekomunikasi serta aset utiliti lain yang berada di sepanjang jajaran pembinaan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Ir Chin Shu Ying (ADUN Dilantik) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17, di sini, pada Isnin.

Menurutnya, kerja-kerja pengalihan utiliti adalah komponen kritikal kerana pembinaan tidak boleh diteruskan di kawasan yang masih mempunyai utiliti sedia ada atas faktor keselamatan, risiko gangguan bekalan serta kemungkinan kerosakan kepada infrastruktur utiliti.

“Utiliti perlu dialihkan terlebih dahulu sebelum kerja pembinaan dapat diteruskan.

“Proses ini bukan sekadar memindahkan aset, malah melibatkan pengesahan kedudukan utiliti, penyediaan reka bentuk, kelulusan teknikal, penyediaan koridor utiliti, penyelarasan dengan pemilik utiliti serta pelaksanaan kerja pengalihan,” katanya.

Beliau berkata proses berkenaan memerlukan koordinasi rapi antara semua pihak bagi memastikan pengalihan dapat dilaksanakan dengan selamat dan teratur tanpa menjejaskan kesinambungan perkhidmatan kepada pengguna.

Selain isu utiliti, Joachim berkata kelewatan projek turut dipengaruhi faktor lain seperti pengambilan tanah, keadaan geoteknik di lokasi tertentu, penyelesaian isu teknikal di tapak serta prestasi kontraktor mengikut pakej masing-masing.

Katanya, bagi menangani isu berkenaan, kerajaan memperkukuh mekanisme penyelarasan melalui Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo serta mesyuarat penyelarasan berkala di peringkat tapak.

“Isu-isu kritikal yang memerlukan keputusan dasar turut dibawa ke peringkat pengurusan tertinggi melibatkan Kementerian Kerja Raya Malaysia, Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan serta kementerian saya bagi mempercepatkan proses penyelesaian dan mengurangkan impak terhadap pelaksanaan projek,” katanya.

Beliau berkata sebagai langkah penambahbaikan bagi projek infrastruktur akan datang, kerajaan memberi penekanan kepada pelaksanaan kerja awalan seperti penyediaan reka bentuk terperinci, pengambilan tanah dan pengalihan utiliti sebelum pembinaan dimulakan.

Pendekatan itu, katanya, membolehkan isu pelaksanaan dikenal pasti dan diselesaikan lebih awal sekali gus mengurangkan risiko kelewatan semasa fasa pembinaan.

“Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan setiap pakej Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi memastikan projek ini dapat disiapkan dengan teratur, berkualiti dan memberi manfaat kepada rakyat serta pembangunan negeri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Joachim memaklumkan Projek Loji Rawatan Air (LRA) Cinta Mata di Tawau kini mencapai kemajuan fizikal 12.21 peratus setakat Jun lalu.

Katanya, projek yang bermula pada 22 Julai 2025 itu dijangka siap pada Julai 2028 dan melibatkan pembinaan loji baharu berkapasiti 30 juta liter sehari (JLH), muka sauk, rumah pam, tangki imbangan serta pemasangan paip penghantaran dan agihan bagi meningkatkan bekalan air di Tawau dan kawasan sekitarnya.

Beliau berkata dengan siapnya projek itu, kapasiti bekalan air terawat di daerah Tawau akan ditambah sebanyak 30 JLH bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Sementara itu, menjawab soalan mengenai bekalan elektrik di Semporna, Joachim berkata Sabah Electricity sedang melaksanakan projek menaik taraf Pencawang Masuk Utama (PMU) Semporna melalui pembinaan PMU baharu 132/33/11kV berkapasiti 2 × 45/60MVA dengan kos RM74.12 juta.

Katanya, projek itu dijangka siap pada Oktober 2027.

Selain itu, sebuah Pencawang Pembahagian Utama (PPU) baharu di Semporna dengan anggaran kos RM45 juta turut dirancang dan dijangka siap pada 2029.

“Apabila kedua-dua projek ini siap, kapasiti dan kebolehpercayaan sistem bekalan elektrik di Semporna akan dipertingkatkan bagi memenuhi pertumbuhan permintaan serta menyokong pembangunan sektor pelancongan, pelaburan, perumahan dan ekonomi di daerah itu,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah: JKR perlu selesai isu kesesakan lalu lintas di Kem...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular