SANDAKAN: Dua kanak-kanak lelaki masing-masing berusia sembilan dan 11 tahun ditemukan lemas ketika mandi di sebuah kolam terbiar di Jalan Sungai Manila, di sini, petang Isnin.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS999 pada jam 6.01 petang semalam sebelum menggerakkan sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan ke lokasi kejadian.
Pasukan yang diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Rosemedian Majid, tiba di lokasi pada jam 6.36 petang selepas menempuh perjalanan sejauh 19 kilometer dari balai.
Menurut Komander Operasi, kedua-dua mangsa dipercayai lemas ketika menjalankan aktiviti mandi di kolam terbiar berkenaan.
“Sebaik pasukan bomba tiba di lokasi, kedua-dua mangsa telah berjaya dijumpai dan dibawa keluar oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Pemeriksaan yang dijalankan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kedua-dua mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pasukan bomba kemudian membantu mengangkat dan membawa kedua-dua mangsa ke lokasi yang selamat sebelum diserahkan kepada pihak KKM dan seterusnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
“Mangsa yang maut ialah dua kanak-kanak lelaki warga tempatan masing-masing berusia sembilan dan 11 tahun.
“Selepas memastikan tiada lagi sebarang bahaya di lokasi kejadian, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.08 malam,” katanya.



