HomeUtamaDUN Sabah: ADUN Sekong persoal dana RM848 juta, krisis air berlarutan

DUN Sabah: ADUN Sekong persoal dana RM848 juta, krisis air berlarutan

Read Time:1 Minute, 46 Second

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong, Alias Sani mempersoalkan status peruntukan RM848 juta bagi sektor bekalan air apabila rakyat di beberapa kawasan masih berdepan gangguan bekalan air berpanjangan.

Beliau berkata, kerajaan sebelum ini memperuntukkan RM848 juta bagi Operasi dan Pembangunan Bekalan Air Sabah menerusi Bajet 2026, namun sekali lagi memohon tambahan RM201 juta bagi sektor sama.

Menurutnya, kerajaan perlu menjelaskan status penggunaan dana asal itu memandangkan penduduk di Flat Mawar, Kampung Lupak Meluas Darat dan kawasan lain masih belum menikmati bekalan air yang konsisten.

“Dana asal RM848 juta itu adalah angka yang sangat besar. Persoalan saya, apa status dana itu? Mengapa peruntukan hampir RM850 juta tersebut gagal dirasai oleh rakyat di Flat Mawar, Kg Lupak Meluas Darat, dan kawasan-kawasan lainnya?

“Mengapa rakyat masih berdepan dengan masalah bekalan air yang berpanjangan?

“Jika peruntukan asal benar-benar dilaksanakan secara berkesan, mengapa kerajaan masih perlu memohon tambahan sebanyak RM201 juta lagi? Apakah punca sebenar kekurangan ini? Adakah ia disebabkan oleh keperluan luar jangka, kelewatan pelaksanaan projek, atau kelemahan dalam perancangan dan pengurusan sumber yang telah diperuntukkan?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Perbekalan Tambahan 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17, pada Isnin.

Alias berkata, isu bekalan air bukan lagi sekadar isu pembangunan infrastruktur, sebaliknya sudah menjadi isu kelangsungan hidup rakyat apabila ada keluarga terpaksa menggunakan sebahagian pendapatan mereka untuk membeli air mineral bagi kegunaan harian berikutan bekalan asas yang masih tidak menentu.

Beliau berkata, keadaan itu turut menimbulkan persoalan terhadap keberkesanan pengurusan dana sedia ada, termasuk usaha mengurangkan kadar Air Tidak Terhasil (Non-Revenue Water atau NRW), menambah baik sistem agihan serta membanteras sindiket kecurian air secara menyeluruh.

Sehubungan itu, beliau memohon kerajaan memberikan penjelasan secara telus mengenai jumlah sebenar daripada peruntukan RM848 juta yang telah dibelanjakan setakat ini serta hasil yang telah dicapai.

Beliau turut meminta kerajaan menjelaskan komponen yang memerlukan tambahan RM201 juta selain langkah konkrit bagi memastikan peruntukan itu benar-benar menyelesaikan masalah bekalan air dan bukan sekadar menambah angka perbelanjaan.

“Rakyat Sabah tidak hanya memerlukan pengumuman peruntukan yang besar. Rakyat memerlukan air yang mengalir secara konsisten di rumah mereka,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah: PANTAS percepat pengeluaran geran tanah, 25,591 lot tanah berjaya...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular