HomeUtamaDUN Sabah: 26,808 permohonan tanah masih dalam tindakan

DUN Sabah: 26,808 permohonan tanah masih dalam tindakan

Read Time:1 Minute, 21 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Sebanyak 26,808 permohonan tanah di seluruh Sabah masih dalam tindakan tindakan di peringkat pejabat tanah daerah di seluruh Sabah setakat 30 Jun 2026.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Isnin Aliasnih @ Liasnih, berkata Kerajaan Negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur Sabah sentiasa berusaha mempercepatkan pemprosesan permohonan tanah dan pengeluaran geran tanah kepada pemohon tanah yang layak.

“Antara langkah yang sedang dan akan terus dilaksanakan termasuk memperkukuh pemantauan permohonan tanah di setiap peringkat pemprosesan dan mempercepatkan tindakan pengukuran permohonan tanah yang telah diluluskan berdasarkan program pengukuran tanah secara sistematik dan menggunakan peralatan ukur moden.

“Di samping itu, penggunaan sistem pendigitalan jabatan turut diperkasakan bagi meningkatkan kecekapan pemprosesan serta prosesproses berkaitan pengeluaran geran tanah,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Isnaraissah Munirah Majilis, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Beliau berkata, tempoh penyelesaian setiap permohonan tanah bergantung kepada beberapa faktor, antaranya status tanah yang dipohon, isu pertindihan permohonan tanah, keperluan melaksanakan siasatan serta semakan teknikal, kekangan tenaga kerja bagi kerja-kerja pengukuran dan semakan ukur, selain pematuhan kepada peruntukan Ordinan Tanah Sabah Bab 68 serta dasar Kerajaan Negeri yang berkuat kuasa.

Bagi menangani kekangan tenaga kerja itu, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur sedang mengisi 30 jawatan Penolong Juruukur Gred J5 yang kini dalam proses pengiklanan bagi tujuan lantikan baharu.

Menurutnya, pengisian jawatan itu dijangka meningkatkan kapasiti tenaga teknikal jabatan, khususnya dalam mempercepatkan kerja-kerja pengukuran tanah di seluruh Sabah.

“Kerajaan Negeri kekal komited untuk mempercepatkan penyelesaian permohonan tanah dan pengeluaran geran Anak Negeri kepada rakyat yang layak secara teratur, telus dan berlandaskan undang-undang,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah: Tapak projek naik taraf Hospital Ranau sedang dikenal pasti

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular