Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seramai 24 warga asing masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memasuki Sabah secara haram.
Kesemua tertuduh yang terdiri daripada 14 wanita dan 10 lelaki disabitkan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Kesemua tertuduh didapati memasuki Sabah tanpa memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, serta sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.
Kesemua mereka ditahan dalam operasi berasingan yang dijalankan di sekitar kawasan bandar raya dan Keningau, baru-baru ini.
Mahkamah turut memerintahkan supaya kesemua warga asing terbabit dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman penjara untuk tindakan lanjut.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen, Baxter Junior Goh dan Mohd Hairul Bona.



