Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Peruntukan sebanyak RM4.94 juta yang diluluskan bagi pembinaan semula Jambatan Sungai Molout di Kampung Bayag, Ranau didapati tidak mencukupi selepas kos keseluruhan dianggarkan mencecah RM19 juta.
Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Samad Jambri @ Jamri, berkata berdasarkan maklumat Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Jambatan Sungai Molout di Kampung Bayag (KM1.600), Jalan Gaur Bayag-Kitaie, Ranau mengalami kerosakan teruk pada struktur penghadang (abutment) akibat hakisan susulan hujan lebat pada 7 September 2025.
“Kementerian Kewangan Negeri Sabah sebelum ini telah meluluskan peruntukan berjumlah RM4,939,290 berdasarkan anggaran asal Pejabat Daerah Ranau.
“Walau bagaimanapun, JKR Sabah mendapati kelulusan kos itu tidak menampung keperluan pembinaan semula jambatan sepanjang 60 meter yang merangkumi laluan dua hala serta struktur perlindungan tebing sungai, dengan kos keseluruhan dianggarkan RM19 juta.
“Sehubungan itu, JKR Sabah sedang menyediakan justifikasi, seterusnya kelulusan kos siling baharu daripada Kementerian Kewangan Negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan, Datuk Rusdin @ Musidi Riman, mengenai bilakah pembinaan jambatan yang merentasi Sungai Molout ke Kampung Bayag, Togoyog, Kitaie serta kawasan sekitarnya akan dimulakan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Beliau turut menyarankan ADUN Paginatan supaya berhubung terus dengan JKR Sabah bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkembangan projek berkenaan.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan mengenai langkah kerajaan bagi membantu penduduk, pelajar dan kenderaan kecemasan sekiranya pembinaan semula jambatan tidak dapat dilaksanakan dalam masa terdekat, Samad berkata perkara itu akan diberi perhatian oleh JKR Sabah, termasuk kemungkinan menyediakan laluan sementara bagi memastikan pergerakan penduduk tidak terjejas.
“Perkara ini sudah pasti akan diambil perhatian oleh JKR Sabah. Mungkin akan diadakan laluan sementara bagi memastikan pergerakan, khususnya pelajar sekolah, dapat dilaksanakan,” katanya.



