KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila Datuk Hazem Mubarak Tun Musa mahu pihak konsesi yang bertanggungjawab menyelenggara lampu jalan di Sabah mengambil pendekatan lebih proaktif dengan melaksanakan pemeriksaan berkala tanpa perlu menunggu aduan daripada orang ramai.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan kerosakan kemudahan awam dapat dikesan lebih awal, sekali gus mengelakkan risiko kepada pengguna jalan raya dan penduduk setempat.
Katanya, isu lampu jalan yang rosak masih menjadi antara rungutan utama masyarakat di DUN Sungai Manila setiap kali beliau mengadakan lawatan ke kampung-kampung dan kawasan perumahan.
“Masalah ini tidak sepatutnya berlarutan sehingga rakyat terpaksa membuat aduan berulang kali. Pemantauan perlu dilakukan secara berterusan dan tindakan pembaikan mesti disegerakan sebaik sahaja kerosakan dikesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17, di sini, pada Selasa.
Hazem berkata, berdasarkan laporan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sungai Manila, lebih 10 lokasi dikenal pasti mempunyai lampu jalan yang tidak berfungsi.
Antara kawasan yang terlibat ialah Jalan Old Labuk Batu 9, Taman Fortune Batu 8, Taman Tai Fai Yin Batu 8, Jalan Pengkalan Kampung Padas, Kampung Jawa 1, Simpang Batu 10 menuju Jalan Sungai Batang Lama, Jalan Pampang serta beberapa kampung lain.
Menurut beliau, di Simpang Batu 10 menuju Jalan Sungai Batang Lama terdapat 20 tiang lampu jalan yang tidak berfungsi, manakala di Jalan Pampang sebanyak tujuh tiang lampu dikenal pasti rosak.
Beliau berkata, keadaan itu bukan sahaja menjejaskan keselesaan pengguna jalan raya, malah boleh meningkatkan risiko kemalangan terutama pada waktu malam apabila jarak penglihatan menjadi terhad.
Sehubungan itu, beliau meminta kementerian berkaitan memperkukuh sistem pemantauan terhadap prestasi pihak konsesi bagi memastikan kerja penyelenggaraan dilaksanakan mengikut jadual dan standard yang ditetapkan.
Katanya, penyelenggaraan infrastruktur asas seperti lampu jalan tidak boleh dianggap sebagai isu kecil kerana kemudahan itu memberi kesan langsung kepada keselamatan, kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat.
Beliau turut berharap peruntukan tambahan yang dibentangkan kerajaan negeri dapat dimanfaatkan untuk mempercepatkan penyelenggaraan kemudahan awam di seluruh Sabah, termasuk di DUN Sungai Manila.
“Rakyat mahu melihat tindakan yang cepat dan berkesan. Apabila masalah asas seperti lampu jalan dapat diselesaikan segera, keyakinan rakyat terhadap penyampaian perkhidmatan kerajaan juga akan terus meningkat,” katanya.



