Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri disaran menyediakan satu pelan tindakan autisme yang menyeluruh bagi Sabah, lengkap dengan sasaran, jadual pelaksanaan dan peruntukan khas bagi memperkukuh sokongan kepada kanak-kanak autisme serta keluarga mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Ir. Chin Shu Ying, berkata pelan tindakan itu penting bagi memastikan perancangan berkaitan pendidikan, kesihatan, intervensi dan kebajikan golongan autisme dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan berkesan.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Dalam ucapannya, beliau turut menyatakan sokongan terhadap RUU berkenaan yang memperuntukkan tambahan RM16.21 juta kepada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Negeri Sabah, termasuk bagi perbelanjaan Taman Didikan Kanak-kanak Kurang Upaya dan Pusat Autisme.
Menurut Chin, dianggarkan lebih 7,000 kanak-kanak di Sabah memerlukan sokongan berkaitan autisme, namun angka sebenar dipercayai lebih tinggi kerana masih ramai yang belum menjalani pemeriksaan, menerima diagnosis rasmi atau didaftarkan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU).
Beliau berkata, walaupun Sabah mempunyai Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), isu kekurangan tempat, guru pendidikan khas dan pembantu pengurusan murid masih perlu diberi perhatian.
Katanya, terdapat guru yang terpaksa mengendalikan murid dengan tahap keperluan yang berbeza dalam satu kelas, termasuk murid yang memerlukan bantuan secara individu bagi komunikasi, pengurusan emosi dan penjagaan diri.
“Kerajaan juga perlu memperkukuhkan latihan khusus mengenai autisme kepada guru supaya mereka mempunyai kemahiran dalam komunikasi, pengurusan tingkah laku, keperluan sensori serta penyediaan pelan pendidikan individu,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan penubuhan Pusat Autisme Sabah (PAUS) di Kota Kinabalu serta pembangunan pusat seumpamanya di Tawau, namun menegaskan jumlah pusat sedia ada masih belum mencukupi untuk memenuhi keperluan di seluruh negeri.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan pusat rawatan, intervensi dan latihan autisme diwujudkan secara berperingkat di wilayah utama seperti Sandakan, Keningau, Kudat, Beaufort dan pantai timur.
Bagi kawasan pedalaman pula, katanya, kerajaan boleh memperkenalkan pasukan intervensi bergerak serta perkhidmatan teleterapi bagi mengurangkan beban perjalanan keluarga yang memerlukan rawatan berkala.
Dalam masa sama, beliau mencadangkan kerajaan menyalurkan geran tahunan, subsidi sewa premis, latihan tenaga pengajar dan bantuan peralatan kepada pusat autisme yang dikendalikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta badan bukan berasaskan keuntungan yang memenuhi piawaian ditetapkan.
Mengulas kebajikan keluarga, Chin berkata ibu bapa dan penjaga turut memerlukan bantuan kewangan, latihan serta sokongan emosi bagi menguruskan anak-anak autisme.
Beliau mencadangkan subsidi terapi bulanan diperluaskan kepada keluarga B40 dan M40, selain bantuan perjalanan kepada keluarga luar bandar yang perlu membawa anak mendapatkan rawatan atau intervensi.
Katanya, kerajaan juga wajar menyediakan program penjagaan sementara (respite care) bagi membantu ibu bapa yang menjaga anak autisme sepenuh masa.
Beliau turut menekankan keperluan merancang sokongan jangka panjang untuk remaja dan orang dewasa autisme melalui latihan kemahiran, peluang pekerjaan, program kehidupan berdikari dan pusat aktiviti harian.
Selain itu, Chin mencadangkan penubuhan Pangkalan Data Autisme Sabah menerusi kerjasama Jabatan Kesihatan, Jabatan Pendidikan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, hospital, sekolah dan pusat intervensi.
“Tanpa data yang tepat, kerajaan sukar merancang keperluan sekolah, guru, pakar, pusat rawatan dan peruntukan kewangan yang mencukupi.
“Kanak-kanak autisme bukan satu beban. Mereka mempunyai bakat dan potensi yang perlu dibangunkan melalui intervensi awal, pendidikan yang sesuai serta sokongan masyarakat,” katanya.



