KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik Datuk Kassim Razali mencadangkan agar ‘Sabah Creative Hub’ ditubuhkan yang berfungsi sebagai pusat sehenti kepada penggiat industri kreatif di negeri ini.
Beliau berkata, pusat itu berupaya menjadi pusat sehenti yang menyediakan studio, ruang kolaborasi, kemudahan produksi, inkubator perniagaan serta latihan profesional kepada penggiat industri kreatif.
Menurutnya, cadangan itu dikemukakan bagi memastikan potensi besar ekonomi kreatif Sabah dapat diterjemahkan kepada sebuah industri yang lebih tersusun, berdaya saing dan mampu menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
“Sabah memiliki pelbagai kelebihan termasuk kepelbagaian budaya, seni, muzik, warisan, alam semula jadi serta bakat luar biasa dalam kalangan anak muda yang boleh dijadikan asas membangunkan industri kreatif bertaraf nasional dan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Selasa.
Kassim berkata, ketika ini semakin ramai belia Sabah berjaya menghasilkan kandungan digital, filem pendek, muzik, animasi, fotografi dan reka bentuk grafik yang mendapat perhatian bukan sahaja di dalam negara, malah di peringkat antarabangsa.
“Namun potensi ini masih belum diterjemahkan menjadi sebuah industri yang benar-benar kukuh kerana ramai penggiat kreatif masih berdepan kekurangan akses kepada pembiayaan, kemudahan produksi, latihan profesional, pemasaran digital serta perlindungan harta intelek,” katanya.
Sehubungan itu, penubuhan Sabah Creative Hub dilihat mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem industri kreatif dengan menyediakan pelbagai kemudahan di bawah satu bumbung.
Selain menjadi pusat pembangunan bakat, hab berkenaan juga boleh berfungsi sebagai platform yang menghubungkan penggiat industri dengan pelabur, syarikat swasta dan pasaran yang lebih luas.
Tambahnya, langkah berkenaan bukan sahaja mampu memperkukuh industri kreatif Sabah, malah berpotensi melahirkan lebih ramai usahawan kreatif yang mampu menjana pendapatan serta mencipta ribuan peluang pekerjaan baharu kepada belia di negeri ini.
Dalam masa sama, beliau berkata, Sabah perlu mengambil peluang daripada perkembangan ekonomi kreatif negara yang kini muncul sebagai antara sektor strategik.
Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), industri budaya dan ekonomi kreatif menyumbang sebanyak 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2024, dengan nilai RM130.7 bilion serta mewujudkan lebih 763,100 peluang pekerjaan.
Justeru, penubuhan Sabah Creative Hub dilihat sebagai satu pelaburan strategik bagi memastikan Sabah bukan sekadar menjadi pengguna kandungan kreatif, sebaliknya muncul sebagai pengeluar kandungan berkualiti yang mampu menembusi pasaran nasional dan antarabangsa.



