Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah terus memperkukuh pembangunan pelancongan berasaskan komuniti (CBT) dan agro pelancongan di Keningau, Tenom serta Nabawan melalui pembangunan produk, promosi dan latihan bagi mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan pendapatan komuniti setempat.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, antara strategi yang dilaksanakan ialah mengenal pasti dan membangunkan produk pelancongan berpotensi melalui peningkatan kemudahan pelancongan, latihan pembangunan kapasiti, pembangunan pakej pelancongan, pemasaran dan promosi, serta bimbingan ke arah pematuhan Standard Pelancongan ASEAN bagi meningkatkan daya saing produk komuniti.
Selain itu, katanya, Lembaga Pelancongan Sabah menyokong inisiatif Malaysian Chinese Tourism Association (MCTA) menganjurkan program lawatan suai kenal (Familiarisation Trip) ke daerah pedalaman termasuk Keningau dan Tenom pada tahun ini.
“Program itu berjaya menghasilkan pakej pelancongan baharu berasaskan komuniti dan agro pelancongan. Pakej ini kini dipromosikan di platform seperti MATTA Fair dan ITE Hong Kong bagi menarik lebih ramai pelancong ke kawasan pedalaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewa Undangan Negeri (ADUN) Liawan Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Jafry berkata, di Nabawan pula, Lembaga Pelancongan Sabah menyokong pelancaran Kabulongou Earth Initiative, iaitu produk pelancongan baharu yang menggabungkan pelancongan lestari, agroforestri dan pemuliharaan hutan melalui kerjasama dengan komuniti setempat.
Katanya, inisiatif itu membabitkan kerjasama antara pengusaha pelancongan swasta dan tiga komuniti setempat bagi memulihkan kawasan hutan seluas 1,000 ekar menerusi pendekatan agroforestri, silvikultur dan pelancongan lestari.
Selain itu, Lembaga Pelancongan Sabah turut menyokong Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau menganjurkan Bengkel Pengurusan Keselamatan dan Kecemasan yang dijadualkan berlangsung pada Ogos ini bagi meningkatkan kompetensi pengusaha pelancongan serta memperkukuh keyakinan pelancong terhadap produk dan destinasi pelancongan di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, melalui inisiatif berkenaan, kementerian yakin pembangunan pelancongan berasaskan komuniti (CBT) dan agro pelancongan di Keningau, Tenom serta Nabawan akan terus diperkukuh, sekali gus meningkatkan peluang ekonomi dan taraf sosioekonomi komuniti luar bandar secara mampan.



