HomeUtamaKes wanita dikerat: Tertuduh disahkan tiada penyakit mental, layak dibicarakan

Kes wanita dikerat: Tertuduh disahkan tiada penyakit mental, layak dibicarakan

Read Time:1 Minute, 38 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga emas yang didakwa membunuh seorang wanita, yang mayatnya ditemukan dalam keadaan dikerat di Indah Permai, Sepanggar, disahkan tidak menghidap penyakit mental dan layak dibicarakan.

Timbalan Pendakwa Raya Akaash Singh memaklumkan kepada Majistret Dzul Elmy Yunus, semasa kes itu disebut hari ini bagi mengetahui status laporan penilaian psikiatri terhadap tertuduh, Piluta Samad, 72.

Menurut Akaash, laporan itu telah siap dan hasil pemerhatian rapi serta penilaian bersiri yang dijalankan terhadap tertuduh sepanjang beliau ditahan di Hospital Mesra Bukit Padang mendapati tertuduh tidak menghidap sebarang penyakit mental serta berkeupayaan untuk membuat pengakuan (plea) dan layak dibicarakan.

Akaash, bagaimanapun, memohon satu lagi tarikh sebutan bagi mendapatkan arahan lanjut daripada pihak pendakwaan.

Peguam Datuk Ram Singh yang mewakili Piluta tidak membantah permohonan itu dan berharap kes berkenaan dapat dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada sebutan akan datang.

Majistret Dzul Elmy Yunus kemudian menetapkan 27 Ogos, jam 9 pagi, untuk sebutan semula kes.

Mahkamah sebelum ini, pada 15 April lalu, memerintahkan Piluta menjalani pemerhatian selama 30 hari di Hospital Mesra susulan permohonan pasukan guaman untuk merujuk tertuduh bagi penilaian mental mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Pada 15 Mei lalu, Mahkamah membenarkan lanjutan selama sebulan bagi penilaian psikiatri terhadap Piluta.

Piluta pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 27 Februari lalu, apabila didakwa atas pertuduhan membunuh bekas tunangnya Hamidah Husin @Lisa, 44, pada 11 Februari 2026, di antara jam 6 petang hingga 7 malam, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sri Kenangan, Jalan Sepanggar.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun. Sekiranya, tidak dijatuhkan hukuman mati, tertuduh boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali bagi banduan lelaki berumur bawah 50 tahun, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Pengakuan tertuduh hanya akan direkod selepas kes dipindahkan ke sana.

Peguam Joan Goh, Ian Vun dan Prem Elmer Ganasan turut mewakili tertuduh.

RELATED ARTICLES
Utama

Tujuh individu direman berhubung sindiket import ayam sejuk beku

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular