Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang penghantar barangan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandungnya yang berusia 10 tahun.
Lelaki berusia 29 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zaini Fishir @ Fisal.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap anak perempuannya sekitar September 2025 di sebuah rumah di Kuala Manggatal.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah seksyen sama, dibaca bersama Seksyen 16(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan di bawah Seksyen 14(a), serta dipenjara sehingga lima tahun dan boleh dikenakan sekurang-kurangnya dua sebatan mengikut Seksyen 16(1) akta sama.
Mahkamah menetapkan 20 Ogos depan untuk sebutan semula kes.
Sementara menunggu kes selesai, Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan deposit RM4,000, selain dikenakan syarat dua penjamin tempatan.
Mahkamah turut mengarahkan tertuduh melapor diri di balai polis sekali setiap bulan.
Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



