HomeUtamaUMS catat kejayaan pembedahan pertama anak lembu bibir sumbing

UMS catat kejayaan pembedahan pertama anak lembu bibir sumbing

Read Time:2 Minute, 35 Second

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus mengukuhkan kecemerlangannya dalam bidang perubatan veterinar apabila berjaya melaksanakan pembedahan korektif pertama ke atas seekor anak lembu yang dilahirkan dengan kecacatan kongenital cleft lip atau bibir sumbing di Fakulti Pertanian Lestari (FPL) UMS.

Kejayaan itu bukan sahaja membuktikan keupayaan UMS dalam mengendalikan kes veterinar yang kompleks, malah memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan tinggi yang aktif memacu pembangunan kepakaran, penyelidikan dan inovasi dalam bidang kesihatan haiwan ternakan.

Dekan FPL, Profesor Dr. Abd Hamid Ahmad berkata, kes yang melibatkan anak lembu dinamakan ‘Joy’ itu merupakan kes pertama direkodkan di FPL sejak ladang ternakan universiti mula beroperasi dengan kumpulan induk baharu.

Menurut beliau, walaupun kecacatan kongenital seperti bibir sumbing jarang berlaku, keadaan tersebut boleh berpunca daripada pelbagai faktor termasuk genetik, pemakanan induk semasa bunting serta faktor persekitaran yang menjejaskan perkembangan janin.

“Kes ini memberi peluang kepada warga FPL untuk mengembangkan kepakaran dalam pengurusan kes veterinar, khususnya pembedahan korektif yang jarang dilaksanakan terhadap haiwan ternakan.

“Kami bukan sahaja berjaya menjalankan prosedur pembedahan tersebut, malah mendokumentasikan keseluruhan proses bagi tujuan pembelajaran, penyelidikan dan rujukan pada masa hadapan,” katanya.

Joy dilahirkan dengan kecacatan pada bahagian bibir yang menjejaskan keupayaannya memotong rumput dengan sempurna, sekali gus menyebabkan pertumbuhannya sedikit terbantut berbanding anak lembu lain seusia dengannya.

Walaupun masih mampu menyusu dan hidup secara normal, pasukan veterinar FPL mengambil keputusan menjalankan pembedahan korektif bagi meningkatkan fungsi pemakanan serta kualiti hidup haiwan tersebut.

Bagi memastikan pembedahan berjalan lancar, Joy ditempatkan di kandang khas selama tiga bulan sebelum prosedur dijalankan. Sepanjang tempoh tersebut, ia diberikan pemakanan berprotein tinggi, dipantau tahap kesihatannya serta dijinakkan bagi mengurangkan tekanan semasa proses rawatan dan pemulihan.

Abd Hamid berkata, kejayaan pembedahan tersebut merupakan hasil kerjasama erat antara doktor veterinar, kakitangan Unit Ternakan dan tenaga sokongan FPL yang mempunyai pengalaman mengendalikan pelbagai prosedur pembedahan termasuk pembedahan Caesarean (C-section) terhadap kambing dan lembu serta rawatan kes-kes trauma haiwan ternakan.

“Koordinasi yang mantap serta pengalaman pasukan veterinar UMS membolehkan setiap prosedur dilaksanakan secara sistematik, selamat dan mengikut piawaian profesional.

“FPL juga mempunyai sistem pengurusan kes yang lengkap merangkumi rekod kesihatan, laporan klinikal, dokumentasi pembedahan dan pemantauan selepas rawatan, sekali gus memperkukuh kredibiliti UMS dalam bidang veterinar,” katanya.

Beliau berkata dokumentasi kes seperti itu amat penting kerana dapat menjadi rujukan kepada doktor veterinar, penyelidik, pelajar serta industri penternakan dalam mengendalikan kes kecacatan kongenital haiwan ternakan pada masa hadapan.

”Selain memperkukuh latihan klinikal, pengalaman tersebut turut menyumbang kepada pembangunan ilmu veterinar serta usaha meningkatkan kesejahteraan haiwan dan produktiviti industri penternakan melalui intervensi perubatan yang bersesuaian.

”Saya berharap lebih ramai penternak mendapatkan khidmat veterinar sekiranya haiwan ternakan mengalami kecederaan atau kecacatan yang masih boleh dirawat, sekali gus mengurangkan kerugian dan meningkatkan pulangan ekonomi sektor penternakan,” katanya.

Prosedur pembedahan yang berlangsung selamat 45 minit itu dijalankan oleh Pegawai Veteritar Kanan FPL, Ts. Dr. Nurul Aini Fitria Kaliwon; Pegawai Veterinar, Dr. Uma Maheswary Kamalanathan bersama Penolong Pegawai Sains, Mohd Faizal Awang Yahya dan pasukan.

Kejayaan itu membuktikan komitmen UMS dalam memperkasa bidang perubatan veterinar melalui gabungan kepakaran akademik, kemudahan klinikal dan penyelidikan berimpak tinggi, selaras dengan aspirasi universiti untuk terus menyumbang kepada pembangunan sektor agromakanan dan keterjaminan makanan negara.

RELATED ARTICLES
Utama

Ops Tiris 4.0 : Lebih satu tan barang kawalan dirampas di...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular