HomeUtamaYTL Construction Perkukuh Budaya Keselamatan, JKKP Gesa Industri Binaan Utamakan Pencegahan

YTL Construction Perkukuh Budaya Keselamatan, JKKP Gesa Industri Binaan Utamakan Pencegahan

Read Time:2 Minute, 5 Second

KUALA LUMPUR: Budaya Keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) perlu dijadikan amalan harian, bukan sekadar tuntutan pematuhan atau kempen tahunan, bagi mengurangkan risiko kemalangan dalam industri pembinaan.

Pengarah Eksekutif YTL Construction, Yeoh Keon Yuan, berkata syarikat itu terus menganjurkan Minggu Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE Week) setiap tahun untuk memperkukuh budaya kerja selamat dalam kalangan warga kerja serta rakan niaga.

“HSE Week bukan sekadar mengisi takwim tahunan, tetapi menjadi medan perkongsian ilmu dan peningkatan kesedaran. Keselamatan perlu diberi perhatian dalam setiap projek dan di setiap tempat kerja,” katanya.

Program yang berlangsung dari 20 hingga 24 Julai itu merangkumi latihan keselamatan, pemeriksaan kesihatan, taklimat alam sekitar, kempen derma darah dan sesi kesejahteraan.

Ia turut membabitkan kerjasama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) serta SWCorp Malaysia.

Yeoh berkata, YTL Construction turut menubuhkan YTL Training Centre di Brickfields bagi meningkatkan kompetensi pekerja dalam aspek kualiti, keselamatan dan alam sekitar.

Syarikat itu juga memperkenalkan YTL Construction Safety Passport untuk memastikan pekerja dan rakan niaga memahami standard keselamatan sebelum memasuki tapak projek, selain menggunakan aplikasi pelaporan serta papan pemuka prestasi KKP bagi memantau pematuhan.

“Keselamatan ialah asas kepada setiap keputusan dan pelaksanaan projek. Apabila asas ini kukuh, kualiti, produktiviti dan prestasi turut meningkat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah JKKP, Hazlina Yon, berkata komitmen YTL Construction wajar dicontohi industri pembinaan dalam usaha membudayakan pencegahan kemalangan.

Menurutnya, Malaysia merekodkan 40,882 kes kecederaan pekerjaan pada 2024, termasuk 418 kematian. Sektor pembinaan mencatatkan 101 kematian, tertinggi berbanding sektor lain.

“Matlamat utama JKKP bukan untuk mengeluarkan lebih banyak notis atau membawa lebih banyak kes ke mahkamah, tetapi memastikan kemalangan dapat dicegah dan pekerja dapat menjalankan tugas dengan selamat.

“Pendekatan kami berpaksikan prinsip ‘Prevention is Better than Prosecution’, dengan mengutamakan pencegahan dan pengurusan risiko sebelum insiden berlaku,” katanya ketika merasmikan penutupan HSE Week 2026.

Hazlina berkata, penganjuran tahun ini turut bersempena sambutan 150 Tahun Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Malaysia serta pelancaran Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2026–2030 (OSHMP30).

Beliau berkata, pelaksanaan Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) (Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024 (CDM 2024) menetapkan tanggungjawab keselamatan dikongsi oleh semua pemegang kewajipan, termasuk klien, pereka bentuk, perunding dan kontraktor.

JKKP turut melanjutkan pendekatan penguatkuasaan secara lunak bagi Bahagian II dan III peraturan itu sehingga 1 Januari 2027 bagi memberi ruang kepada industri membuat persediaan sebelum pematuhan penuh dikuatkuasakan.

Hazlina menegaskan bahawa keselamatan di tapak bina bukan tanggungjawab Penyelia Keselamatan Tapak semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen semua pihak supaya ia menjadi sebahagian daripada operasi harian.

RELATED ARTICLES
Utama

UMS catat kejayaan pembedahan pertama anak lembu bibir sumbing

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular